Site icon Malaysia now

Jika P Pinang berkeras tentang hak air, jangan halang Kedah membalak di Ulu Muda, kata Najib

PETALING JAYA: Najib Razak menegaskan Kedah berhak membalak di Ulu Muda, yang menjadi kawasan tadahan air, sekiranya Pulau Pinang berkeras mengambil air Sungai Muda tanpa membayar sebarang pampasan.

Bekas perdana menteri berkata ianya munasabah bagi Pulau Pinang membayar Kedah untuk memelihara sumber air jika kerajaan negeri itu “asyik mahu tegur Kedah” memanfaatkan sumber dalam sempadannya walaupun dibenarkan undang-undang.

“Sejak bila saya kata Pulau Pinang tak ada hak bawah undang-undang untuk mengambil air tanpa membayar Kedah?” katanya di Facebook.

Sebaliknya, Najib juga mengingatkan Pulau Pinang tiada hak untuk tegur atau mengecam Kedah berhubung isu pembalakan di Ulu Muda atau rancangan melombong nadir bumi.

“Dan undang-undang mana yang kata kerajaan Pulau Pinang boleh tuntut kerajaan Kedah melakukan pembenihan awan setiap kali ada kemarau? Tak ada, kan?”

Najib berkata jika tidak ada keperluan Pulau Pinang membayar Kedah, kenapa pula Ketua Menteri Chow Kon Yeow umum sedia berunding dengan Kedah berhubung isu itu.

“Ianya munasabah sebab wang yang dibayar Pulau Pinang boleh digunakan Kedah untuk kerja memelihara sumber air mentah yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri,” katanya.