LONDON: Pelakon Britain, Jeremy Bulloch yang memegang watak pemburu upahan terkenal, Boba Fett dalam filem “Star Wars” asal, meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Bulloch menghembuskan nafas terakhir di hospital di Tooting, London Selatan, susulan masalah kesihatan termasuk menghidap penyakit Parkinson sejak beberapa tahun lalu.
“Jeremy terkenal melalui watak yang dilakonkan dalam filem seperti Summer Holiday, Star Wars dan James Bond,” tambahnya.
Dilahirkan di Market Harborough, Leicestershire, Bulloch muncul dalam beberapa rancangan televisyen klasik pada 1970-an dan 1980-an termasuk “Doctor Who” serta “Robin of Sherwood”, selain memegang watak sokongan dalam tiga filem James Bond.
Bagaimanapun, wataknya yang paling terkenal adalah sebagai Boba Fett yang diperolehi menerusi abangnya Robert Watts yang merupakan penerbit bersekutu dalam “The Empire Strikes Back”.
“Saya tidak pernah berjaya memberikan watak filem untuk Jeremy.
“Jadi, ketika itu saya menelefonnya dan berkata, ‘Jika watak ini bersesuaian, ambillah.’ Beliau datang mencuba dan watak itu memang serasi.” kata Watts dalam satu temu bual pada 2008.
Menurut satu kenyataan dari akaun rasmi Twitter Star Wars berkata bahawa persembahan Bulloch yang tidak dapat dilupakan adalah sebagai pemburu upahan Boba Fett. Ia menggamit penonton sejak kali pertama kemunculannya.
Malah, Bulloch akan diingati bukan sahaja kerana penyampaian watak yang begitu ikonik, malah kerana sifatnya yang sangat pemurah dan baik hati.
Rakan-rakan pelakon “Star Wars” turut tidak ketinggalan mengucapkan penghormatan kepada Bulloch di media sosial.
“Jeremy Bulloch memang contoh lelaki budiman terunggul Inggeris. Pelakon hebat, sahabat baik dan sentiasa baik hati dengan sesiapa sahaja yang berpeluang menemui atau bekerja dengannya.
“Saya pasti merinduinya dan bersyukur dapat mengenali Bulloch.” kata Mark Hamill yang melakonkan watak Luke Skywalker, di Twitter.
Billy Dee Williams, yang berlakon sebagai Lando Calrissian pula berkata di Twitter: “Hari ini kita kehilangan pemburu upahan terhebat di alam semesta. Berehatlah dengan tenang Jeremy Bulloch.”
Walaupun Boba Fett sekadar watak sampingan dalam filem berkenaan, ia mempunyai ramai peminat dan kini, watak tersebut dilakonkan oleh pelakon New Zealand, Temuera Morrison dalam siri televisyen popular “The Mandalorian”.
Daniel Logan, yang memainkan watak Boba Fett sewaktu muda dalam “Star Wars Episode II: Attack of the Clones”, menyuarakan kesedihan atas kematian Bulloch.
“Berehatlah dengan tenang legenda, saya tidak akan lupakan segala ajaran kamu” katanya di Instagram dengan berkongsi gambar bersama Bulloch.
Walaupun watak Boba Fett sentiasa bertopi keledar, ada kalanya Bulloch menunjukkan wajahnya sekilas dalam “The Empire Strikes Back” serta “Revenge of the Sith”.
Pada 2018, Bulloch menukilankan ucapan terima kasih untuk peminatnya dan mengumumkan tidak akan lagi menghadiri konvensyen selain “menyimpan topi keledar Fett”.
“Pada 1979 saya dipanggil ke set Empire Strikes Back sebagai Boba Fett, dan sejak itu hala hidup saya terus berubah dengan begitu hebat,” katanya di laman webnya.
“Memang menjadi satu penghormatan apabila diberi peluang menjadi inspirasi pelbagai generasi peminat Star Wars. Sudah lebih 20 tahun saya mengembara bersama isteri, Maureen, ke beberapa negara yang hebat dan menemui begitu ramai peminat hebat.
Terima kasih dan kami akan merindui kamu semua.
“Semoga kuasa sentiasa bersama kamu.”
Bulloch meninggalkan isterinya Maureen, tiga anak lelaki dan 10 cucu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com