Jerawat sering menjadi masalah utama kepada kebanyakan kita. Wajah berjerawat bukan sahaja menjadikan penampilan kelihatan tidak menarik tetapi ia amat menjengkelkan dan membuatkan kita berasa kurang selesa.
Walaupun, pelbagai jenis penjagaan kulit dan rutin pembersihan sudah dilakukan namun, jerawat masih lagi muncul. Malah, ada yang telah menjaga jadual tidur dan pemakanan namun, jerawat masih lagi kelihatan.
Jadi, apakah penyebab jerawat masih lagi muncul?
Ternyata, terdapat beberapa perkara kebiasaan lain yang anda lakukan tanpa sedar telah menyebabkan kulit mudah berjerawat.
Berikut adalah tujuh kebiasaan harian yang merosakkan kulit hingga menyebabkan jerawat.
1. Selalu sentuh wajah
Adakah anda perasan, jejari anda sering menyentuh wajah? Sering menyentuh wajah juga boleh merosakkan kulit.
David Lortscher, pengasas dan CEO Curology yang juga seorang pakar kulit, mengatakan menyentuh wajah akan memindahkan bakteria ke kulit yang akhirnya menjurus kepada kemunculan jerawat.
Duduk dengan tangan berada di dagu juga boleh menyebabkan penumpuan kelembapan sehingga menjadi tempat berkembangnya bakteria.
Oleh itu, kurangkan sentuhan tangan pada wajah. Anda juga boleh pastikan jari dan tangan sentiasa bersih, cuci dengan kerap. Ini boleh menghilangkan beberapa bakteria yang akan berpindah ke wajah.
2. Tidak mandi setelah bersukan
Bersihkan diri sebaik sahaja habis bersukan atau keluar dari gim. Anda boleh mandi atau sekadar membilas wajah dan badan.
Menurut Joel Schlessinger, seorang pakar kulit mengatakan, tidak membilas badan setelah bersukan akan menyebabkan munculnya jerawat di punggung dan dada.
“Peluh mudah terperangkap di dalam pakaian ketat, menyebabkan jerawat, iritasi dan masalah lain timbul. Membilas badan dan wajah setelah bersukan sangat ideal kerana ia dapat mengurangkan kesempatan bakteria menempel pada kulit,” kata Schlessinger.
Oleh itu, segera bersihkan diri dengan sabun mandi anti-bakteria dan basuh bahagian di mana kulit menyentuh peralatan olahraga.
Tetapi, jika anda tidak dapat mandi, setidaknya gantikan pakaian sukan dan bersihkan peluh serta minyak pada wajah dan badan yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria.
3. Salah pilih pembersih
Bacalah label yang tertera pada produk pembersih. Ia amat penting kerana kita boleh tahu bahan yang digunakan di dalam produk tersebut samada boleh membantu mengatasi masalah jerawat.
Lortscher menyarankan untuk menggunakan pembersih wajah yang berlabel “non-comedogenic” atau tidak komedogenik.
Produk bersifat comedogenic mengandung kandungan yang berpotensi mencetus penyumbatan pori-pori. Sebaliknya, produk bersifat non-comedogenic cenderung tidak berpotensi menyumbat pori-pori.
Produk jenis ini juga amat sesuai untuk wajah berminyak dan berjerawat.
Beberapa bahan umum penyumbat pori-pori ialah isopropil miristat, natrium lauril sulfat, myristyl miristate dan laureth-4.
4. Stres
Umum mengetahui, stres adalah punca kepada banyak masalah kepada tubuh, mulai dari rambut hingga berat badan. Stres juga boleh menjadi masalah kepada kulit.
Lortscher mengatakan, penyebab stres seperti beban pekerjaan atau masalah dalam hubungan percintaan tidak menyebabkan jerawat. Tetapi, situasi tersebut boleh menjadi faktor yang menyumbang kemunculan jerawat.
Ini terjadi kerana tubuh cukup kompleks dan stres boleh menghasilkan hormon fluktuasi yang menstimulasi kelenjar minyak dan menyebabkan radang hingga kulit jadi berjerawat.
5. Telefon bimbit
Benar sekali, telefon bimbit itu lebih kotor daripada yang kita fikirkan.
Schlessinger mengatakan, beberapa bakteria, termasuk staphylococcus aureus (bakteri staph), MRSA (antibiotic-resistant staph bacteria) dan E. coli, ditemukan pada telefon bimbit.
Bakteria itu tidak baik bagi kesihatan termasuk kulit, khususnya, bila anda menyentuh wajah setelah memegang telefon.
“Kita sering menyentuh tombol pintu dan wang. Bakteria yang bersembunyi pada benda-benda tersebut beralih kepada telefon apabila kita menyentuhnya.
“Kemudian ketika anda meletakkan telefon ke pipi. Semua bakteria tersebut akan berpindah ke wajah. Ini yang menyebabkan jerawat, radang dan iritasi,” katanya lagi.
6. Makanan tambahan protin
Lortscher mengatakan, meskipun bersukan tidak membuat perubahan hormon yang menyebabkan jerawat tetapi suplemen dengan protin “whey” boleh mencetuskan jerawat.
“Ini boleh memiliki kesan yang serupa pada tubuh seperti minum terlalu banyak susu, di mana ia juga mencetus pelepasan insulin dari pankreas dan meningkatkan insulin.” Ujarnya.
Kondisi itu juga boleh memunculkan jerawat. Setidaknya hal itu menjadi kesimpulan dalam sebuah kajian di Turki tahun 2017.
Perkara ini mungkin menjadi penyebab para olahragawan angkat besi yang minum protin “whey” memiliki jerawat di punggung dan dada mereka.
7. Tidak mencuci sarung bantal
Bantal adalah barang yang paling selesa apabila meletakkan kepala tetapi tidak mencuci sarungnya boleh merosakkan kulit. Ini kerana pada sarung bantal terkumpul debu, bakteria, peluh, minyak dan cairan tubuh lainnya.
Kulit dan rambut meninggalkan minyak pada bantal. Begitu juga dengan sel kulit mati yang tertinggal pada bantal akan menyebabkan jerawat, radangan dan iritasi kepada kulit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com