Site icon Malaysia now

Isu tunggakan royalti muzik selesai, bayaran dijangka bermula 2021

Rosol Wahid berkata, bayaran permulaan royalti melibatkan RM11.7 juta yang tertunggak pada 2018 dan bayaran seterusnya berdasarkan laporan penggunaan lagu daripada stesen televisyen dan radio tempatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 penggiat muzik tanah air boleh menarik nafas lega, apabila isu royalti mereka dilihat sudah mencapai penyelesaian dengan bayaran permulaan royalti sebanyak RM500 seorang dijangka bermula Januari depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, bayaran permulaan itu melibatkan dana RM11.7 juta yang tertunggak pada 2018 dan bayaran seterusnya akan diberikan berdasarkan laporan penggunaan lagu daripada stesen televisyen dan radio tempatan.

“Royalti itu akan dibayar kepada mereka yang bernaung di bawah dua badan pelesenan kutipan royalti muzik, iaitu Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad dan Performers Rights Interest Society of Malaysia (PRISM) Berhad, yang sebelum ini tertunggak kerana kedua-dua badan ini tidak mencapai konsensus bagi kaedah pengagihan royalti muzik bersesuaian.

“Bayaran tersebut dilihat dapat memberi kelegaan kepada penggiat muzik tanah air berikutan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, di mana ramai yang terjejas pendapatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat isu agihan royalti penggiat industri muzik tanah air.

Media sebelum ini melaporkan agihan royalti kepada penyanyi dan pemuzik rakaman di bawah dua badan pelesenan kutipan royalti muzik akan dibayar selewat-lewatnya bulan ini.

Sementara itu, badan pelesenan kutipan royalti muzik yang menghadiri mesyuarat itu – Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan RPM Berhad tidak bersetuju dengan cadangan persatuan pengguna muzik melaksanakan moratorium bayaran royalti atas alasan perniagaan mereka terjejas dengan Covid-19.

Pengerusi PPM, Rosmin Hashim berkata, ia tidak adil untuk penggiat muzik yang pendapatan mereka turut terjejas akibat Covid-19, tetapi lagu mereka tetap dimainkan di premis perniagaan seperti hotel dan restoran.

“Bagaimanapun, badan pelesenan ini bersetuju berunding dengan persatuan pengguna muzik, iaitu pengusaha hotel, pusat beli-belah dan restoran untuk menetapkan kadar bayaran royalti lebih munasabah, terutama sepanjang pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka.

“Persatuan pengguna muzik juga perlu berlaku adil kepada pemain industri muzik kerana mereka juga kehilangan sumber pendapatan kesan daripada Covid-19.”