KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) susut 0.5%pada Okt 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata, kemerosotan itu adalah disebabkan penurunan signifikan 10.6% dalam indeks perlombongan.
“Kemerosotan dalam sektor perlombongan disumbangkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-12.6%) serta indeks gas asli (-9.0%).
“Sementara itu, indeks pembuatan dan indeks elektrik masing-masing mencatatkan perkembangan 2.4% dan 1.0%,” katanya.
Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 2.4% pada Okt 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 4.3% pada Sept.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Okt 2020 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (8.1%), kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (3.5%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (1.7%).