PETALING JAYA: Husam Musa menyumbang sebahagian gajinya sebagai Ahli Dewan Negara berjumlah RM1,000 sebulan bagi membantu petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.
Husam berkata, tindakan itu dilakukan selepas terharu membaca luahan tekanan dihadapi petugas kesihatan menerusi surat terbuka daripada doktor bertugas di Hospital Sungai Buluh.
Katanya, pemotongan gaji berjumlah RM1,000 sebulan itu bermula dari Januari sehingga wabak itu berakhir untuk hospital berkenaan menyediakan fasiliti yang diperlukan kepada petugas terbabit.
“Sebagai tanda kebersamaan saya terhadap ‘doktor dari Hospital Sungai Buluh’ ini yang mungkin mewakili petugas kesihatan di semua hospital di seluruh negara, saya dengan rendah hati menderma RM1,000 sebulan daripada elaun saya selaku Ahli Dewan Negara,” kata Husam.
Husam turut meminta semua menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) melakukan pemotongan gaji untuk disalurkan kepada petugas barisan hadapan terutamanya dalam menyediakan fasiliti lebih baik ketika bertugas merawat pesakit Covid-19.
“Saya juga minta semua menteri patut potong gaji untuk membantu petugas barisan hadapan, sebagai tanda menunjukkan kebersamaan berkorban untuk rakyat,” katanya kepada FMT.
Dalam perkembangan sama, Husam yang juga Pengerusi Yayasan Darul Hijrah memaklumkan pihaknya turut mengambil inisiatif mengumpul sumbangan dan akan disalurkan terus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan itu dari masa ke masa.
Beliau memaklumkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri,Muhyiddin Yassin supaya meluluskan peruntukan dengan segera bagi menyediakan keperluan kepada barisan petugas hadapan untuk menyediakan kemudahan sepatutnya di semua hospital di seluruh negara bagi kebajikan golongan itu.
Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan mengenai surat terbuka daripada seorang individu yang menyebut dirinya sebagai doktor yang bekerja di Hospital Sungai Buloh.
Surat terbuka bertajuk “Tolong layan kami dengan manusiawi” menyentuh mengenai ketiadaan fasiliti yang sesuai untuk petugas kesihatan yang menangani kes Covid-19 seperti bilik rehat dan penyediaan makanan semasa bertugas syif atas alasan kekurangan dan pemotongan peruntukan oleh kerajaan Malaysia.
Husam menambah, situasi seperti yang didedah itu sesuatu yang buruk dan tidak sepatutnya terjadi.
“Ia memberikan kesan kepada moral dan kemampuan mereka sebagai manusia bukan robot, untuk terus kekal kuat, sihat dan bersemangat bagi meneruskan tugas berat sebagai petugas barisan hadapan dalam usaha menangani wabak Covid-19 kini.
“Isu-isu kebajikan petugas kesihatan dan lain-lain petugas barisan hadapan juga seperti polis dan tentera, hendaklah diberikan keutamaan,” katanya.
Katanya, kemampuan kewangan negara hendaklah digunakan sebaik mungkin mengikut keutamaan sebenar bagi menyelesaikan permasalahan asas seperti itu bagi membuktikan kerajaan pimpinan Muhyiddin benar-benar prihatin dengan ancaman utama negara pada masa ini.