Site icon Malaysia now

Hidangan India Selatan di Asia Rice Pot Petaling Jaya

Asian Rice Pot menghidangkan pelbagai jenis masakan kari India Selatan serta briyani yang lazat.

PETALING JAYA: Terasa ingin nikmati hidangan nasi dengan pelbagai jenis kari dan sayur-sayuran? Cari sajalah di Asian Rice Pot di SS5, Petaling Jaya. Menghidangkan aneka lauk-pauk dari India Selatan malah, pengunjung pasti kecur dengan aroma lazat sebaik melangkah masuk ke restoran.

Hidangan bufet mereka sering menjadi tumpuan sama ada pada waktu makan tengah hari atau malam.

Kari disajikan dalam periuk tanah liat untuk memberikan rasa unik masakan India Selatan.

Avilin, pemilik Asian Rice Pot memberitahu FMT bahawa semua masakan kari dimasak dan disimpan mengikut kaedah tradisional iaitu di dalam periuk tanah liat yang memberi perisa unik masakan India Selatan.

Selain itu, periuk tanah liat juga dilihat dapat memberikan suasana ekstetik, melalui hidangan yang dipamerkan.

Makanan yang popular di restoran ini adalah daging kambing yang dimasak selepas diperap dengan berbagai rempah ratus untuk menghasilkan rasa lazat lagi unik.

Jika kurang meminati kambing, kari ayam Asian Rice Pot tidak kurang sedapnya dengan adunan rempah lembut yang boleh dinikmati dengan nasi putih atau thosai.

Briyani di Asian Rice Pot antara yang laris.

Pencinta biryani pasti jatuh hati dengan pilihan lauk pauk dari ayam, kambing atau ikan yang disediakan di Asian Rice Pot ini. Set biryani ini dilengkapi timun raita serta acar sayuran yang menggamit selera dengan kepelbagaian rasa dan tekstur.

Nasi goreng kambing yang turut menjadi perhatian.

Bagi yang berani mencuba sesuatu yang berbeza, restoran ini juga terkenal dengan nasi goreng kambing. Pedas secukup rasa dan tidak ‘kedekut’ rencah.

Bukan hidangan daging saja ada di sini, malah mereka yang lebih gemarkan makanan berasaskan sayuran juga mempunyai pelbagai pilihan. Apatah lagi masakan seumpama itu memang boleh dikatakan wajib untuk restoran yang menghidangkan masakan India Selatan.

Pelbagai pilihan sayur-sayuran bagi penggemar sayur.

Kacang bendi, kobis, terung pedas malah tauhu, ada saja sayuran yang dimasak mengikut tradisi India Selatan mampu memenuhi cita rasa semua.

Menurut Avilin, tukang masak dan pekerja restoran itu berasal dari India bererti makanan yang dihidangkan sememangnya asli penyiapan dan rasanya seperti dilakukan di negara itu.

Malah, rempah ratus turut diimport dari India dan tukang masaknya menghasilkan sendiri gabungan rempah untuk memastikan keaslian dan rasa seperti masakan India Selatan.

“Apa yang membezakan Asian Rice Pot daripada restoran makanan India lain adalah kami langsung tidak berkira atau kedekut dengan kualiti bahan digunakan yang dapat dirasai dalam setiap masakan kami,” katanya.

(Kiri): Mangga lassi, berkrim dan tidak terlalu manis. (Kanan): Kopi BRU Paasumpaal berkrim, tepat diminum selepas hidangan.

Pencinta manisan tidak dilupai, pelbagai kuih-muih tempatan yang enak boleh dinikmati bersama minuman panas.

Mahukan manisan sejuk? Ais krim “banana split” atau ais kacang juga ada, sempurna sebagai penutup selepas menikmati hidangan pedas.

Restoran ini dibuka untuk sarapan pagi, hidangan tengah hari, minum petang serta makan malam. Selain menghidangkan makanan dan lauk panas, Asian Rice Pot juga menyediakan katering untuk acara besar atau kecil.

Asian Rice Pot terletak di kejiranan SS3 di Petaling Jaya.

Asian Rice Pot
11, Jalan SS 5A/11
SS 5, 47301 Petaling Jaya
Selangor

Waktu Perniagaan: 8 pagi– 9.30 malam setiap hari

Hubungi: 03-7874 6911

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com