Site icon Malaysia now

Haram skuter elektrik berada atas jalan raya KL mulai 1 Jan

Polis menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bermula 1 Januari tahun depan penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain digazetkan di ibu negara, dilarang dan tindakan undang-undang bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Zulkefly Yahya berkata, penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat digazetkan seperti taman permainan, kawasan pejalan kaki dan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

“Penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan menggunakannya di atas jalan raya kerana ia mengganggu pengguna jalan raya lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat kemalangan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara.

“Setakat ini, polis mengenal pasti tiga kawasan aktif penggunaan skuter berkenaan di ibu negara, iaitu di sekitar Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

“Pihak polis sedang memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan setakat ini, kami tidak mengambil tindakan dan hanya menasihatkan dahulu sebelum tindakan mula dikenakan pada 1 Januari depan,” katanya.

Katanya, penunggang skuter elektrik perlu memohon lesen kebenaran khas daripada ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika mahu menggunakan skuter berkenaan di atas jalan raya.

Zulkefly berkata, selepas dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman bawah Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan.

Penggunaan skuter elektrik mula diperkenalkan pada Mei lepas dan kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan dan menaiki pengangkutan awam.

Kenderaan skuter elektrik tergolong bawah takrifan kenderaan mikromobiliti. Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti bermaksud, ‘mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam’.

Terdahulu, Zulkefly mengetuai operasi khas pasukan (JSPT) Kuala Lumpur memberi kempen advokasi dan mendidik penunggang skuter elektrik di tiga lokasi di ibu kota.