Site icon Malaysia now

Gencatan senjata di Perak, tetapi persaingan politik terus berjalan

Dengan Saarani Mohamad di kerusi menteri besar dan Umno kembali berkuasa, perubahan kerajaan dijangka tidak akan berlaku sehingga pilihan raya akan datang.

PETALING JAYA: Krisis politik di Perak yang menyebabkan tiga parti Melayu, iaitu PPBM, Umno dan PAS, bertelagah mungkin telah berakhir, tetapi untuk berapa lama?

Sumber berkata, perkembangan yang berlaku hanya gencatan senjata sementara. Tiga parti tersebut akan meneruskan permainan politik mereka dalam usaha mengatasi satu sama lain.

Perubahan kerajaan mungkin tidak akan berlaku lagi sehingga pilihan raya umum ke-15 dengan Umno kembalinya ke puncak kuasa diketuai oleh Saarani Mohamad sebagai menteri besar yang baru.

“Tetapi setiap parti akan terus berusaha memastikan mereka berada di hadapan dan kekal kuat di Perak,” kata sumber kepada FMT.

Beliau berkata, PAS mahu mengambil alih negeri itu, sementara PPBM mahu mendapatkan kuasa melalui sokongan akar umbi.

“Umno juga mahu memastikan parti itu terus dominan,” katanya.

Katanya, tiga parti itu akan terus bersikap berhati-hati bagi memastikan mereka tidak dibayangi oleh parti yang lain.

Dalam pada itu, rakyat Perak terus berdepan kesukaran kerana kehilangan pekerjaan dan penutupan perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang lemah.

“Walaupun ia merupakan “ungkapan basi”, namun rakyat mahu melihat apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan baru bagi membantu mereka.

“Ramai yang marah kerana kehidupan mereka tertekan,” katanya.

Sumber berkata, Saarani dilantik sebagai menteri besar kerana beliau merupakan pengerusi Umno Perak, namun beliau mungkin tidak disenangi dalam kalangan kumpulan Umno tertentu.

Saarani perlu mewujudkan hubungan kerja yang baik dengan semua parti bagi mendapatkan sokongan mencukupi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS Perak semalam memohon maaf kepada Sultan Nazrin Shah kerana gagal masuk menghadap pada Selasa.

Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria berkata, mereka telah menghantar surat rasmi meminta maaf kepada Istana.

Sumber berkata, dengan permohonan maaf itu, Saarani kini boleh menawarkan jawatan Exco kepada parti itu.

“Apabila mereka memulakan rundingan, Umno akan mengambil sebahagian besar jawatan Exco, sementara bakinya diberikan kepada PPBM dan PAS,” katanya.

Ia mungkin menimbulkan rasa tidak puas hati, bagaimanapun kata sumber itu lagi, dari situ, semuanya akan bergantung pada pihak mana yang mampu memenangi hati rakyat.