Site icon Malaysia now

Ganti perkhidmatan feri PP pernah diumum semasa kerajaan PH, MCA jawab Guan Eng

Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata, rakyat sudah bosan dengan cara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempolitikkan semua isu di negara ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: MCA berkata bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook pernah mengeluarkan kenyataan mahu melaksanakan perkhidmatan teksi air atau “catamaran boat” untuk menggantikan sebahagian daripada perkhidmatan feri Pulau Pinang pada tahun ini semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Setiausaha Agungnya, Chong Sin Woon berkata, rakyat sudah bosan dengan cara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempolitikkan semua isu di negara ini.

“Perkhidmatan feri ini telah diumumkan oleh bekas menteri pengangkutan DAP, Anthony (Loke Siew Fook) bahawa ia akan digantikan oleh teksi air dan feri sedia ada digunakan untuk tujuan pelancongan pada Ogos 2019.

“Jelas tiada kaitan politik atau “balas dendam” dalam isu ini seperti yang cuba dimainkan oleh Lim,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Lim bahawa pembatalan perkhidmatan feri Pulau Pinang merupakan konfrontasi terbuka kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat negeri itu yang diketuai oleh MCA dan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong.

Lim berkata, MCA dan Wee tidak akan dimaafkan atau dilupakan oleh rakyat Pulau Pinang kerana “politik balas dendam” itu.

Dalam pada itu, Chong berkata, Lim suka bermain persepsi seolah-olah menjadi “mangsa” dalam hal berkaitan dengan Pulau Pinang walaupun beliau mengetahui keadaan sebenar.

Pada Ogos tahun lalu, memetik laporan Berita Harian, Loke berkata, kerajaan akan melaksanakan perkhidmatan teksi air atau “catamaran boat” bagi menggantikan sebahagian daripada perkhidmatan feri tersebut tahun ini.

Loke dilaporkan berkata, sebahagian perkhidmatan feri sedia ada hanya akan digunakan untuk tujuan pelancongan bagi memastikan teksi air dapat berfungsi secara menyeluruh.

Pada 24 Dis, Putrajaya dilaporkan memberi jaminan bahawa perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diteruskan dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih moden untuk keselamatan dan keselesaan penumpang.

Wee berkata, beberapa pihak menyuarakan kekesalan atas keputusan untuk menyediakan perkhidmatan feri yang lebih selamat, cepat dan mengurangkan kos penyelenggaraan yang kian meningkat disebabkan faktor feri berusia 47 tahun yang perlu diselenggara secara purata sebulan sekali.

Feri Pulau Pinang yang berusia 126 tahun adalah perkhidmatan feri tertua di negara ini dan juga perkhidmatan feri lintas selat pertama antara Pulau Pinang dan tanah besar bermula pada tahun 1894.