Site icon Malaysia now

Gandingan lucu Catriona Ross & Mark Adam dalam telefilem terbaharu, ‘Kak Kek Baru Nak Up’

Gandingan lucu Catriona Ross dengan loghat Kelantan & Mark Adam pastinya mencuit hati penonton.

Watak ‘Kak Kek’ yang dibawakan oleh pelakon Catriona Ross melalui siri travelog ‘Kak Kek Ke Kelate’ kini kembali dengan naskah terbaharu ‘Kak Kek Baru Nak Up’.

Telefilem ini menceritakan tentang Kathy (Catriona Ross), seorang wanita 30-an berpewatakan moden kacukan Inggeris, Kelantan dan Sabah, yang terpaksa pulang ke rumah pusaka keluarganya kerana telah diberhentikan kerja.

Demi kelangsungan hidup, dan setelah mendapat inspirasi daripada adiknya, Danny (Mark Adam), Kathy mengambil keputusan untuk menjadi ‘food reviewer’.

Untuk membina identiti yang unik, Kathy bertukar watak menjadi ‘Kak Kek’ dan membuat ‘review’ menggunakan loghat Kelantan.

Videonya telah menjadi tular disebabkan telatahnya serta tudung senget ‘ikonik’ yang menjadi tumpuan ramai. Namun, dia harus berdepan dengan Sofea (Ellyza Azizi), seorang ‘influencer’ yang dengki dengan kejayaannya.

Manakala Danny (Mark Adam) kembar kepada Kak Kek, seorang chef yang juga diberhentikan kerja kerana pandemik COVID-19. Danny seorang yang mahir dalam masakan, kelakar dan sering mencari gaduh dengan kembarnya, Kak Kek. Dia juga mempunyai seorang kawan baik iaitu Imran, watak yang dibawakan oleh Yusuf Bahrin.

Imran merupakan seorang juruterbang muda yang juga diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19. Dia mengambil keputusan untuk menjadi seorang penghantar makanan, Imran juga menyimpan minat pada Kak Kek.

Antara pelakon-pelakon yang membintangi ‘Kak Kek Baru Nak Up’, Catriona Ross sebagai Kak Kek, Mark Adam sebagai Danny, Yusuf Bahrin sebagai Imran dan Ellyza Azizi sebagai Sofea.

Telefilem terbaharu arahan Irwan Abdul Rauf itu bakal bersiaran pada Ahad, 27 Disember 2020, di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124), jam 10 malam. Program berdurasi 120 minit ini juga boleh distrim secara percuma bagi pelanggan Astro di aplikasi Astro GO untuk pilihan lebih fleksibel.

Terdahulu, watak Kak Kek muncul di saluran NAURA (109) melalui siri travelog ‘Kak Kek Ke Kelate’ yang dihoskan oleh Catriona Ross sebagai alter egonya ‘Kak Kek’. Siri ini telah menerima sambutan yang baik dari peminat dengan lebih 142 ribu tontonan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com