Site icon Malaysia now

Gagal rekod butiran pelanggan kesalahan terbesar PKP

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan aktiviti pusat hiburan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis menahan 241 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 202 individu dikompaun manakala 39 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (77), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43), aktiviti pusat hiburan (41) dan lain-lain (2),” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, mengenai Operasi Benteng beliau berkata, agensi penguatkuasa memberkas 51 pendatang asing tanpa izin, seorang tekong serta merampas enam kenderaan darat dan dua bot/kapal menerusi 125 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus.”