PETALING JAYA: Fasa utama perbicaraan kes jenayah pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014 di timur Ukraine dijangka bermula pada Jun tahun depan.
Mahkamah Daerah The Hague berkata proses persidangan bagi pra-perbicaraan itu selesai pada 25 Nov, dengan kes itu dirujuk kepada peguam untuk siasatan tambahan.
Dalam kenyataan, ia berkata peguam memberitahu mahkamah tentang kemajuan siasatan, berdasarkannya ia mendraf jadual sementara.
Pendengaran seterusnya pada 1 Feb 2021, untuk membincangkan kemajuan siasatan tambahan, status tuntutan ganti rugi dikemukakan keluarga mangsa, dan permohonan pendakwa raya untuk memeriksa rangka pesawat yang ditembak jatuh itu.
Katanya, pendengaran pada 15 April kemudian akan memutuskan sama ada akan membenarkan pemeriksaan itu, dan menambah ia dijangka dapat dibuat pada Mei jika mahkamah memutuskan untuk meluluskan permohonan tersebut.
“Jika siasatan peguam berjalan seperti yang dijangka, mahkamah akan memulakan pendengaran mengenai merit dalam perbicaraan jenayah MH17 pada Isnin, 7 Jun 2021.
“Mahkamah jangka keluarga mangsa pesawat MH17 akan dapat melaksanakan hak mereka di mahkamah selepas musim panas 2021. Bila perbicaraan jenayah akan merumuskannya masih belum jelas pada masa ini,” katanya.
Pesawat MH17, yang membawa 298 anak kapal dan penumpang, ditembak jatuh oleh peluru berpandu di timur Ukraine yang dikuasai pemisah disokong Rusia ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Semua suspek memegang jawatan kanan pasukan tentera pro-Rusia di timur Ukraine pada 2014, menurut pendakwa raya. Mereka berdepan tuduhan awal pembunuhan dan menyebabkan pesawat terhempas.
Pendakwa berkata keempat-empat lelaki terbabit membantu mengatur sistem peluru berpandu Rusia yang digunakan untuk menembak jatuh MH17.
Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan melaksanakan sekatan lebih ketat ke atas Moscow. Ia juga menimbulkan ketegangan politik antara Rusia dan kuasa Barat yang menjadi punca kepada nahas pesawat, yang mengorbankan, antara lain, 193 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, dan 27 warga Australia.