KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, semua wakil rakyat dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memahami sebarang isu dibangkitkan terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan rasmi atau di media sosial.
Katanya, penyampaian terhadap isu yang ingin dijawab perlu tepat dan jelas bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Minda rakyat hari ini tidak sama seperti dulu kerana ramai anak bangsa kita memiliki pendidikan dan kemahiran yang melangkaui persada global.
“Dalam era kecanggihan informasi, apa juga perkara yang berlaku akan tersebar dan menjadi tular dengan begitu pantas dan luas. Justeru, sebagai pemimpin kerajaan kita perlu sentiasa bersiap sedia melengkapkan diri dengan maklumat terkini terutama fakta.
“Rakyat sama ada penyokong atau bukan sentiasa memerhati kita sebagai wakil mereka dan apa yang kita bahaskan, cara penyampaian dan penampilan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat perhatian media atau menjadi perbualan rakyat,” katanya ketika merasmikan Konferen Backbenchers GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Hajiji berkata, berkomunikasi secara maya sudah menjadi kebiasaan baharu dalam semua peringkat masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.
“Sudah pasti ini akan menjadi cabaran kepada wakil rakyat yang tidak menguasai kemahiran selari dengan perubahan trend ini.
“Pejabat maya (virtual office) dan small office and home office (SOHO) juga semakin penting dan meluas dengan adanya pelbagai aplikasi atas talian yang mempermudah dan mempercepatkan kerja serta komunikasi.
“Sehubungan itu, saya berharap supaya aktiviti Kelab Backbenchers GRS ini akan terus digiatkan dan menjadi medan percambahan minda, menimba ilmu dan pengalaman demi pembangunan rakyat serta negeri ini,” katanya.
Konferen diadakan itu anjuran Kelab Backbenchers GRS bersama Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah (JPAN) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Joachim Gunsalam, Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Salleh Said Keruak dan menteri serta pembantu menteri Kabinet negeri.