Site icon Malaysia now

EU dijangka mula program vaksin Covid-19 sebelum akhir tahun

EU memeterai perjanjian untuk membeli kira-kira 2 bilion dos vaksin dengan enam syarikat, termasuk 300 juta daripada Pfizer dan BioNTech. (Gambar AP)

ANKARA: Kesatuan Eropah (EU) dijangka memulakan pemberian vaksin Covid-19 sebelum akhir tahun ini, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) pada Selasa.

Mesyuarat mengenai vaksin itu akan diadakan pada 21 Dis ini, lapan hari lebih awal daripada rancangan.

Ketua Suruhanjaya EU, Ursula Von Der Leyen menerusi Twitter menyambut baik keputusan EMA.

“Setiap hari sangat penting, kami bertungkus lumus bekerja untuk meluluskan vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan.

“Mungkin rakyat Eropah akan mula diberi vaksin sebelum akhir 2020!”

Kenyataan EMA dikeluarkan selepas Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn berkata, pihaknya menjangkakan kelulusan untuk vaksin Covid-19 diperolehi sebelum Krismas.

EU memeterai perjanjian untuk membeli kira-kira 2 bilion dos vaksin dengan enam syarikat, termasuk 300 juta dari Pfizer dan BioNTech.

Selain itu, EU turut menandatangani kontrak dengan Moderna, AstraZeneca, CureVac, Johnson & Johnson dan Sanofi-GlaxoSmithKline. EMA bertanggungjawab memberi kelulusan untuk penggunaan ubat bagi semua negara anggotanya.