Site icon Malaysia now

Empat rakyat Malaysia terlibat kemalangan ngeri di Australia

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terselamat dengan kejadian ringan dalam kemalangan tersebut. (Gambar Pixabay)

PETALING JAYA: Empat rakyat Malaysia cedera, 3 daripadanya parah, dalam satu kemalangan ngeri pada malam sambutan Krismas di Balranald, New South Wales.

Tiga wanita terbabit diterbangkan ke Melbourne dalam keadaan kritikal, sementara mangsa keempat, seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun, terselamat dengan hanya kecederaan ringan dan diserahkan kepada keluarga.

Perkhidmatan kecemasan berkejar ke lokasi kejadian sekitar jam 3.50 petang Khamis selepas menerima laporan bahawa sebuah kenderaan pacuan empat roda yang menghala ke arah barat terbabas dan terbalik beberapa kali.

Pemandu dan dua penumpang dewasa diterbangkan ke hospital di Melbourne, Victoria, sementara kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Balranald kerana cedera ringan dan kini dalam jagaan ahli keluarga, menurut kakitangan hospital.

Kanak-kanak terbabit terselamat daripada kecederaan lebih parah kerana dipakaikan kerusi keselamatan di bahagian tempat duduk belakang.

Pemandu kereta berkenaan dibawa ke Hospital Alfred dengan kecederaan parah di kepala dan kini berada dalam keadaan stabil.

Dua penumpang dewasa, yang berusia 25 dan 47 tahun, dibawa ke Royal Melbourne Hospital, dan polis memberitahu ABC Mildura Swan Hill bahawa mangsa yang lebih tua mengalami kecederaan parah, manakala wanita yang lebih muda dikatakan berada dalam keadaan kritikal.

Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Mazita Marzuki memberitahu FMT bahawa walaupun pegawainya tidak berhubung secara langsung dengan dua hospital berkenaan, namun pihaknya maklum mengenainya dan dalam proses memberikan bantuan sesuai.

Polis Daerah Barrier kini menyiasat punca kejadian.