Site icon Malaysia now

Disyaki ancam keselamatan negara, staf Bloomberg warga China ditahan di Beijing

Haze Fan bekerja untuk Bloomberg sejak 2017. (Gambar Twitter Hong Kong Free Press HKFP)

BEIJING: Pihak berkuasa China menahan seorang warga China yang bekerja untuk agensi berita Bloomberg di Beijing kerana disyaki mengancam keselamatan negara, kata agensi itu dan Kementerian Luar Negeri China pada Jumaat.

Menurut laporan Bloomberg, Haze Fan dilihat diiringi pegawai keselamatan berpakaian preman di bangunan pangsapurinya pada Isnin selepas beliau menghubungi editornya.

“Warga China Fan ditahan oleh Biro Keselamatan Negara Beijing menurut undang-undang China berkaitan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti jenayah yang mengancam keselamatan negara,” kata Kementerian Luar Negara China.

“Kes itu sedang disiasat dan hak Fan terjamin sepenuhnya dan keluarganya telah dimaklumkan perkara berkenaan,” kata kementerian itu.

Biro Keselamatan Negara Beijing tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkembangan itu.

“Kami sangat khuatir dengan keadaannya dan sedang berkomunikasi dengan pihak berkuasa China untuk lebih memahami keadaan,” kata seorang jurucakap Bloomberg dalam kenyataan.

“Kami cuba sedaya upaya untuk menyokong beliau sambil mendapatkan maklumat lebih lanjut.”

Ketua pengarang Bloomberg John Micklethwait dan editor kanan lain memberitahu kakitangan yang berpangkalan di negara itu bahawa pihak berkuasa China berkata, penahanannya tiada kaitan dengan pekerjaannya, lapor Wall Street Journal dengan memetik sumber yang tidak dinamakan.

Fan bekerja untuk Bloomberg sejak 2017 dan beliau sebelum ini pernah berkhidmat dengan Reuters, CNBC, Al Jazeera dan CBS News, menurut profil LinkedIn beliau.