Site icon Malaysia now

Denda RM2.2 juta Delloitte Plt sesuai, kata hakim

KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendenda Deloitte PLT (Deloitte) RM2.2 juta adalah bersesuaian dan mengikut kadar graviti serta keseriusan kesalahan yang dilakukan firma audit itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Deloitte, bagi mencabar keputusan SC yang membatalkan permohonannya untuk mengkaji semula denda RM2.2 juta yang dikenakan terhadap firma itu.

Beliau menganggap SC tidak tersalah arah dalam undang-undang, atau gagal mengambil kira pertimbangan berkaitan, dalam membuat keputusannya terhadap pemohon (Deloitte).

“Pihak responden (SC) melaksanakan tindakan sewajarnya dan pentafsiran betul mengenai peruntukan undang-undang berkaitan, dalam tugas dan tanggungjawab responden sebagai pengawal selia pasaran modal.

“Pemohon gagal menunjukkan bahawa keputusan responden atau jumlah itu tidak munasabah.

“Keputusan yang disebutkan tidak mempunyai sebarang kelemahan dari segi undang-undang dan cabaran yang dibangkitkan pemohon tidak mendedahkan sebarang kecacatan untuk diambil kira oleh mahkamah bagi tujuan semakan kehakiman. Untuk itu, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman ini dengan kos RM20,000,” katanya.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, mewakili Deloitte manakala Brendan Navin Siva hadir untuk SC.

Malik Imtiaz ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau akan mendapatkan nasihat anak guamnya sama ada hendak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sebelum ini, SC dilaporkan mendenda Deloitte sebanyak RM2.2 juta untuk empat pelanggaran melibatkan bon RM2.4 bilion (sukuk) yang dikeluarkan oleh anak syarikat 1MDB, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada 2014.

Deloitte adalah juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd, bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 hingga 2016.

Pada 14 Nov 2019, Deloitte memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan SC yang menolak permohonannya bagi mengkaji semula sekatan pentadbiran seterusnya mengekalkan sekatan yang dikenakan terhadapnya.

Pada 25 Nov 2019, Hakim Mariana membenarkan Deloitte meneruskan permohonan semakan kehakimannya.

Dalam permohonannya, firma audit itu meminta untuk membatalkan semakan keputusan SC pada 19 Ogos 2019, yang mengekalkan denda RM2.2 juta terhadap Deloitte yang dikenakan pada 30 Jan 2019.

Deloitte turut meminta perintah certiorari bagi membatalkan semakan keputusan SC yang mengenakan denda tersebut.

Selain itu, Deloitte meminta supaya RM2.2 juta yang dibayar sebagai denda kepada SC dikembalikan sekiranya mahkamah menyokong permohonan semakan kehakiman berkenaan, berserta kos atau apa-apa perintah selanjutnya yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.