KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak kerajaan mendedahkan nama syarikat dan individu di sebalik kartel menyeludup daging import dari negara sumber tidak sah dan diragui status halal serta kualitinya.
Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak mahu mereka yang terlibat, termasuk orang kenamaan dilindungi kerana ia berkait rapat dengan kepentingan rakyat.
“Kami mendesak didedahkan nama-nama syarikat dan individu yang disyaki terbabit. Kita tidak mahu ada sebarang unsur untuk melindungi, hatta kalau ada orang kenamaan sekali pun.
“Ini soal kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung isu tersebut supaya ia disiasat segera.
Beliau juga mendesak kerajaan supaya menarik lesen syarikat terlibat bagi memastikan rakyat Malaysia tidak meragui status halal daging import lain.
“Kita mahu syarikat pembekal daging yang terlibat dan sedang disiasat ini ditarik balik lesen perniagaannya supaya rakyat Malaysia, khususnya umat Islam tidak rasa ragu-ragu terhadap bekalan daging import (halal) yang ada di pasaran,”katanya.
Asyraf berkata, Putrajaya perlu menubuhkan pasukan khas melibatkan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk agensi penguatkuasaan dalam industri halal bagi mengenal pasti dalang di sebalik aktiviti penyeludupan daging import selama lebih 40 tahun itu.
“Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu dilakukan melalui pasukan khas melibatkan PDRM dan SPRM, selain segera mendakwa dan mendedahkan individu dan syarikat yang terlibat, termasuk membabitkan rasuah dan penyelewengan.
“Kita menuntut siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo halal Malaysia dipulihkan dan dipelihara,” katanya.
Baru-baru ini media mendedahkan wujudnya kartel dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti penyeludupan daging selama lebih 40 tahun.
Daging yang diragui status halal itu diimport dari negara yang tidak mencapai standard ditetapkan oleh kerajaan, tetapi kemudiannya dicampurkan dengan daging halal dan dipasarkan kepada orang ramai.