SYDNEY: Kakitangan Muzium Kebangsaan Australia membuat penemuan menakjubkan seusia Perang Boer yang dianggap antara paling ikonik di negara itu.
Kepingan coklat berusia 120 milik Andrew Barton “Banjo” Paterson, seorang pemuisi ditemui berada dalam keadaan baik tanpa banyak kerosakan.
Konservator perpustakaan menemui snek lazat itu tersorok di dalam kotak berisi puisi, diari dan keratan akhbar milik Paterson.
“Bau menarik dikesan ketika kotak itu dibuka. Rupanya tin mengandungi coklat lama milik Banjo, malah masih dibungkus rapi dalam kotak itu.” kata konservator perpustakaan itu, Jennifer Todd.
Enam keping coklat itu masih dalam bungkusan kertas aluminium lama, di dalam tin tertulis “Afrika Selatan 1900” serta ukiran “Ucapan Selamat Tahun Baharu, Victoria RI”.
Pada tahun 1899, Ratu Victoria memutuskan untuk menghadiahkan coklat kepada askarnya yang berkhidmat di Afrika Selatan.
Baginda mengupah tiga pengeluar coklat utama Britain, Fry, Cadbury dan Rowntree, untuk menghasilkannya malah rekod turut membuktikan Ratu Victoria sendiri membayar untuk penghasilan kotak tin berkenaan.
Sebanyak 123,000 tin dianggarkan dihantar menjelang hujung 1900.
Walaupun sepatutnya untuk askar Perang Boer, ada yang mengambil kesempatan menggunakan hadiah itu untuk tujuan keuntungan.
Paterson mengembara ke Afrika Selatan pada 1899 sebagai wartawan perang khas untuk akhbar Sydney Morning Herald, dan dipercayai membeli tin coklat itu daripada seorang askar sebelum menghantarnya pulang ke Australia di mana cuacanya lebih dingin supaya tidak rosak.
Beliau kembali ke Australia pada hujung tahun yang sama.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com