Tanda karat kelihatan kotor dan boleh memudaratkan permukaan dan kain jika tidak dibersihkan. Ada tanda karat yang mudah untuk dibersihkan namun, banyak juga yang sukar untuk dibersihkan.
Berikut adalah beberapa petua untuk menghilangkan tanda karat dari pelbagai permukaan dan pakaian:
1. Pakaian dan kain yang boleh dicuci
Akibat bersandar pada pagar yang sudah berkarat, kini pakaian pula yang melekat karatnya. Bagaimana cara terbaik untuk menghilangkan karat dari pakaian anda?
Untuk pakaian yang mudah dicuci, cuba gunakan cuka putih dan jus lemon. Campurkan cuka dan lemon, kacau hingga sebati. Kemudian, gosokkan pada kain yang terkena karat. Biarkan pakaian atau kain anda tadi terkena cahaya matahari. Karat secara beransur-ansur akan pudar.
Setelah selesai, masukkan ke dalam mesin basuh dan basuh seperti biasa.
Untuk tanda karat yang lebih sukar untuk dihilangkan, anda boleh menggunakan dos penghilang karat komersial yang terdapat di kedai perkakasan. Setelah menggunakan penghilang karat, bilas kawasan tersebut dengan air sejuk dan basuh secepat mungkin.
2. Kain yang tidak boleh dicuci
Bagi pakaian yang tidak boleh dicuci dan perlu dihantar ke cucian kering anda boleh mencuba cara ini.
Sediakan jus lemon dan garam. Satukan keduanya dalam mangkuk sehingga campuran pekat. Sebelum menggunakan pada pakaian, uji di tempat yang bersih untuk melihat sama ada campuran itu bertindak balas dengan kain tersebut.
Sekiranya ia bertindak balas, sapukan campuran tersebut pada tanda tadi, kemudian biarkan di bawah sinar matahari. Pastikan bahan tadi benar-benar meresap pada kawasan terkena karat dan seterusnya hilang. Kemudian, buang sisa garam.
3. Carpet atau perabot
Untuk permaidani dan perabot, anda juga boleh menggunakan cuka putih dan garam untuk membuangnya.
Rendam sehelai kain dalam cuka, kemudian perah. Taburkan garam pada tanda karat dan letakkan kain yang direndam cuka di atas karpet atau perabot selama kira-kira 30 minit, periksa kemajuannya dari semasa ke semasa.
Sekiranya belum hilang, ulangi proses dengan kain bersih. Apabila tanda hilang, biarkan hingga kering dan bersihkan garam yang tersisa.
4. Jubin
Terdapat pelbagai cara untuk menghilangkan tanda karat pada beberapa jenis jubin.
Untuk jubin aspal, linoleum atau vinil, gunakan kain atau span yang dicelupkan ke dalam air sabun suam dan lap tanda karat. Kemudian, bilas kawasan yang terkena dengan baik dan lap hingga kering dengan tuala bersih. Sekiranya tanda masih tidak hilang, anda boleh menggunakan penghilang karat yang selamat untuk lantai ini.
Sementara itu, untuk batu bata, konkrit dan granit, anda perlu menggabungkan tujuh bahagian gliserin tanpa kapur, satu bahagian natrium sitrat, enam bahagian air suam dan kapur serbuk untuk membuat pes tebal. Ratakan pes pada tanda dan biarkan hingga mengeras.
Untuk mengeluarkannya, gunakan pengikis kayu dan ulangi prosesnya jika tanda masih belum hilang. Akhirnya, basuh kawasan yang terjejas dengan air bersih dan biarkan kering.
Artikel ini telah diterbitkan pertama kali di kaodim.com
Salah satu platfom perkhidmatan tempatan yang sedang berkembang maju di Asia Tenggara. Kaodim menghubungkan pengguna kepada penyedia perkhidmatan tempatan persendirian dan profesional – dengan pantas dan bebas gangguan. Dengan aplikasi Kaodim, pengguna boleh mengakses kepada perkhidmatan profesional untuk pengubahsuaian rumah, pembersihan pejabat dan banyak lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com