Site icon Malaysia now

Biawak ‘sesat’ masuk bank

Biawak ‘sesat’ masuk ke tingkat tiga sebuah bank di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Gempar apabila seekor biawak “tersesat” ke tingkat tiga sebuah bank di Jalan Dato Keramat dalam kejadian 5.30 petang Isnin lalu.

Reptilia sepanjang 1.5m itu “memanjat” ke tingkat berkenaan dari longkang di bahagian bawah, menyelinap masuk ke pejabat yang ketika itu terdapat lebih 10 pekerja.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Mohamad Hafiz Fazil berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan menangkap biawak berkenaan selepas mendapat penggilan kecemasan daripada bank itu.

“Biawak itu kelihatan seperti ‘letih’ dan tidak melawan ketika kami menggunakan jaring untuk menangkapnya.

“Reptilia itu boleh bertindak agresif, kukunya sangat tajam dan boleh mencederakan orang,” katanya kepada FMT.

Video mengenai kejadian itu tular di media sosial, menunjukkan kakitangan bank berkenaan berdiri di atas meja dan kerusi sambil menjerit untuk menyelamatkan diri.