Site icon Malaysia now

Berita tular MKN laksana semula PKP palsu, kata KKMM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menasihati orang ramai supaya berhenti mengongsi berita yang tidak ditentusahkan.

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan laporan mendakwa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang tular di media sosial.

“MKN menegaskan kenyataan tersebut adalah palsu dan menasihati orang ramai agar berhenti daripada berkongsi berita yang tidak ditentusahkan agar tidak menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya tidak bercadang melaksanakan sekatan rentas daerah atau negeri susulan peningkatan kes dan kluster Covid-19 akibat aktiviti sosial dan pergerakan rentas sempadan.

Ismail berkata, ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan penilaian risiko rentas negeri, terutama di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 2,593 kes baru Covid-19 iaitu jumlah tertinggi dicatatkan setakat ini.

Daripada jumlah itu, 2,589 adalah kes penularan tempatan, manakala bakinya jangkitan dari luar negara.