Site icon Malaysia now

Beli emas ketika pandemik pelaburan terbaik

Kedai emas sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, dipenuhi pelanggan yang datang membeli dan menukar emas.

KUALA LUMPUR: Kedai pajak gadai pernah menjadi tumpuan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama pada Mac lalu yang menyaksikan orang ramai berpusu-pusu menggadai emas.

Namun, situasi yang tular di media sosial itu berubah sekitar Ogos lalu apabila mereka mula membeli emas berikutan harganya dilaporkan meningkat dan tertinggi dalam sejarah dunia.

Ini kerana orang ramai sedar walaupun harganya mahal mereka tetap akan membeli emas untuk pelaburan, kemudian menjualnya dengan harga lebih tinggi sekali gus memberikan pulangan lumayan.

Bercakap kepada FMT Pengurus Eksekutif SMS Deen Jewellers Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen berkata, pembelian emas sebenarnya banyak membantu orang ramai menstabilkan semula kewangan mereka ketika berdepan situasi pandemik.

Pengurus Eksekutif SMS Deen Jewellers Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen menerangkan corak pembelian emas pelanggan sepanjang pandemik.

Katanya, penyimpan emas boleh menggadai atau menjual semula aset itu jika berdepan krisis kewangan atau dibuang kerja dan wang hasil gadaian emas digunakan untuk mencari inisiatif lain bagi menjana pendapatan seperti memulakan perniagaan.

“Pada pandangan saya, emas menjadi tumpuan kerana dua sebab iaitu orang dapat menjualnya semula, kerana lumrah emas ini adalah dua hala kita beli dan kita jual jadi ia menyenangkan pelanggan yang sebelum ini mengumpul emas,” katanya.

Shaifudeen berkata, pada awal PKP perniagaannya mula bermasalah namun masih dapat diseimbangkan atas faktor kenaikan harga emas, walaupun untuk mencapai keuntungan dan pulangan modal itu masih di tahap yang sukar.

Pengarah Eksekutif Madras Jewellers Sdn Bhd Rajendran Kandasamy berkata, penjualan emas di kedainya mengalami penurunan 60% akibat pandemik yang membataskan orang ramai datang membuat pembelian susulan akur dengan PKP.

Pengarah Eksekutif Madras Jewellers, Rajendran mendedahkan jualan emas di kedainya merosot sejak PKP.

“Sebelum PKP, perniagaan memang baik tetapi selepas PKP penjualan menurun secara drastik mungkin kerana ketika itu orang ramai risau mahu keluar dan perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Namun, apabila ditanya mengenai corak pembelian pelanggan, Rajendran berkata bilangan yang membeli secara tukaran emas dan pembelian baru, jumlahnya sama.

Rajendran menegaskan walaupun dalam keadaan pandemik, pihaknya masih mengekalkan kakitangan dan cuba membantu mereka dari segi kewangan supaya dapat bertahan ketika krisis ekonomi melanda.

Seorang pekerja sedang melayani pelanggan yang datang untuk membeli barangan kemas.

Berhadapan situasi hampir serupa, wakil Dubai Jewellery, Malarvili Sundaraslam berkata, kadar jualan emas di kedainya turun mendadak namun selepas PKP dilonggarkan pelanggan sudah mula membuat pembelian walaupun dalam jumlah kecil.

“Bila mula PKP, perniagaan kami bermasalah, tetapi selepas perintah pergerakan dilonggarkan sudah mula ada pelanggan yang datang untuk membeli emas walaupun dalam jumlah belian yang sedikit iaitu antara 1 hingga 5g emas,” katanya.

Berdasarkan tinjauan FMT, kebanyakan kedai emas di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman mengikut SOP disediakan, dengan pelanggan diminta masuk ke premis mengikut giliran, mendaftar melalui MySejahtera, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.