Site icon Malaysia now

Bahaya tampal lubang jalan tak ikut spesifikasi, kata MB Perak

Saarani Mohamad berkata, tindakan orang ramai menampal lubang tidak mengikut spesifikasi akan menyebabkan kerosakan lebih besar dan membahayakan pengguna jalan raya lain. (Gambar Facebook)

IPOH: Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad meminta orang ramai diminta tidak menurap atau menampal sendiri lubang pada jalan raya kerana bimbang ia akan mendatangkan risiko kepada pengguna lain.

“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap pembinaan jalan ada spesifikasi tersendiri. Jangan ambil tindakan tidak mengikut spesifikasi kerana nanti rosak sikit akan jadi besar dan bahaya,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa terkesan dengan penularan COVID-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau mengulas tindakan orang awam menutup jalan berlubang kerana bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya penunggang motosikal.

Saarani berkata, Jabatan Kerja Raya Perak berjaya menyelesaikan 685 daripada 705 aduan berkaitan kerosakan jalan raya di semua 12 daerah seluruh negeri sepanjang tahun ini, dengan kebanyakannya berkaitan penyelenggaraan.