Site icon Malaysia now

APEC 2020: Putrajaya rangka komuniti dinamik

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melancarkan Visi Putrajaya 2040 pada sidang kemuncak APEC baru-baru ini.

PETALING JAYA: Malaysia melakar beberapa pencapaian ketika menjadi tuan rumah sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 bulan lalu.

Salah satunya ialah kemampuan menjadi tuan rumah kepada acara utama ketika pandemik global apabila ia mengadakan sidang kemuncak itu secara maya buat kali pertama dan membuktikan Malaysia proaktif dalam mengekang penularan COVID-19.

Bukan itu sahaja, sidang kemuncak berkenaan turut menyaksikan pengisytiharan Visi Putrajaya 2040, yang menggantikan Matlamat Bogor.

Visi Putrajaya 2040 dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bertujuan mewujudkan komuniti Asia Pasifik yang aman, terbuka, dinamik, berdaya tahan dalam 20 tahun akan datang bagi kemakmuran rakyat dan generasi masa depan.

Menerusi Visi Putrajaya 2040, negara anggota akan memastikan Asia Pasifik terus menjadi rantau ekonomi yang dinamik dan terkemuka dalam segmen perdagangan dan pelaburan.

Inisiatif itu juga membenarkan negara anggota untuk merancang dan bersedia dalam waktu krisis selain mengutamakan inovasi dan digitalisasi.

Visi Putrajaya 2040 juga menerapkan agenda kemakmuran bersama, fokus utama APEC 2020 selaras dengan penjajaran semula ekonomi dan memastikan setiap lapisan masyarakat merasai kesan limpahan pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Deklarasi Kuala Lumpur 2020 yang dipersetujui dalam mesyuarat pemimpin ekonomi APEC menekankan usaha mengekang pandemik COVID-19 selain merangka strategi pengukuhan empat aspek pertumbuhan ekonomi.

Deklarasi dimeterai 21 negara anggota itu turut mengetengahkan tekad setiap pemimpinnya memacu pemulihan Asia Pasifik daripada krisis kesihatan awam, yang menyebabkan kepincangan pertumbuhan ekonomi serantau.

Kerjasama antara negara anggota akan tertumpu kepada kepentingan merangka dasar bersama untuk menjana kesan positif dan lestari, demi melonjak taraf kehidupan rakyat menerusi beberapa mekanisme tertentu.

Deklarasi itu menetapkan tiga pemacu ekonomi untuk mencapai aspirasi berkenaan iaitu perdagangan dan pelaburan, inovasi dan pendigitalan, serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif.

APEC 2020 berjaya mendapatkan komitmen negara anggota untuk bekerjasama dalam beberapa agenda penting.

Malaysia menjadi tuan rumah kali kedua sidang kemuncak APEC selepas 1998. Kali ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertindak sebagai sekretariat kebangsaan.

Pada 2018, pemimpin tidak dapat mencapai kesepakatan dalam Deklarasi Pemimpin, manakala Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 2019 dibatalkan kerana protes anti kerajaan.

Pada penutup APEC 2020, Muhyiddin mengumumkan New Zealand akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak tahun depan. Pengumuman itu disusuli ucapan ringkas dan video negara itu.