Site icon Malaysia now

Apandi fail permohonan dapat dokumen tamat kontrak peguam negara

Mohamed Apandi Ali menuntut ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, am, teladan dan/atau punitif, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mohamed Apandi Ali memfailkan permohonan bagi mendapatkan dokumen berkaitan penamatan khidmatnya sebagai peguam negara dalam saman dikemukakannya untuk menuntut ganti rugi RM2.2 juta terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan.

Peguam Baljit Singh Sidhu, yang mewakili Apandi, memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norhatini Abd Hamid yang kemudiannya menetapkan 12 Jan depan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Dalam permohonan itu, Apandi selaku plaintif antara lain memohon perintah dikeluarkan mahkamah untuk beliau bebas memeriksa dan dibekalkan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.

Katanya, dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan ia perlu diberikan kepada plaintif untuk membuktikan tuntutan samannya.

Baljit berkata, permohonan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Pada 13 Okt lalu, Apandi memfailkan saman dengan menamakan Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama serta kedua, antara lain memohon perisytiharan pemecatan beliau sebagai peguam negara oleh bekas perdana menteri itu tidak sah.

Dalam penyataan tuntutannya, Apandi yang merupakan hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan defendan pertama menyalahgunakan kedudukannya dan mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan.

Beliau juga memohon perisytiharan wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya yang tidak mengikut undang-undang, oleh itu ia tidak sah.

Apandi menuntut ganti rugi khas sebanyak RM2,233,599.36, am, teladan dan/atau punitif, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 12 Nov lalu, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Apandi sebagai peguam negara sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Mahathir dalam hal itu.