Site icon Malaysia now

Annuar terima permohonan maaf dakwaan jual tanah WP, ketika kes lain timbul

Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (kanan) memohon maaf kepada Annuar Musa dalam satu pertemuan di Parlimen minggu lalu. 

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa menerima permohonan maaf seorang pemimpin DAP atas dakwaan beliau menjual 42 aset milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak lapan bulan lalu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai memohon maaf selepas menyedari maklumat diterimanya palsu dan permohonan maaf itu diterimanya.

“Ini bukan isu peribadi. Saya sudah menerima permohonan maafnya,” katanya ketika menggulung peruntukan untuk kementeriannya di peringkat jawatankuasa.

Pada 7 Dis lalu, Annuar menerusi catatan di Twitter berkata, beliau menerima kunjungan mengejut daripada Tan, yang juga pengerusi DAP, di pejabatnya di Parlimen.

Tan menyerahkan sepucuk surat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Annuar pada 18 Nov lalu.

Tan dalam sidang media di Parlimen pada 18 Nov lalu mendakwa 42 lot tanah milik DBKL sudah dijual, selepas Annuar menjadi menteri dan menuntut Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan transaksi terbabit.

Terdahulu, di Dewan Rakyat, Teresa Kok (DAP-Seputeh) menyuarakan kebimbangan berhubung penjualan sebidang tanah di persimpangan Jalan Klang Lama dan Jalan Kuchai Lama.

Katanya, tanah itu diambil alih Jabatan Kerja Raya pada 2002 untuk memperluaskan persimpangan itu dan membina sebuah jejantas pejalan kaki, tetapi itu tidak berlaku.

“Ruang itu kemudiannya disewakan kepada penjaja,” katanya sambil menambah tanah itu kemudiannya dipindahkan kepada DBKL.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, tanah itu kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat dikenali sebagai Kunchi Muhibbah, yang didakwa di bawah Aset Kayamas.

Beliau mendakwa seorang eksekutif Aset Kayamas kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Penjualan tanah itu dihentikan PH (Pakatan Harapan), tetapi diteruskan di bawah PN (Perikatan Nasional),” katanya sambil mempersoalkan jika penjualan itu diluluskan Kabinet.

Beliau juga ingin tahu kenapa tanah itu dijual pada separuh harga daripada nilai sebenar RM161 sekaki persegi.

Annuar berkata, tiada penjualan tanah sejak beliau mengambil alih portfolio itu Mac lalu dan siasatan awal mendapati jualan itu dilakukan ketika PH berkuasa.

Kok bertegas perjanjian jual beli ditandatangani pada Jun 2020 dan Annuar berkata, beliau akan meneliti perkara itu kerana beliau tidak bersetuju dengan sebarang penjualan tanah.

Ia disusuli Khalid Samad (PH-Shah Alam), menteri Wilayah Persekutuan di bawah PH, meminta Annuar mengulangi dakwaannya di luar Dewan Rakyat.