Site icon Malaysia now

Anggota RELA antara 2 ditahan pinjam senjata api kepada rakan tiada lesen

Shafien Mamat (kanan) menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas pada sidang media di IPK Kelantan hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua lelaki, termasuk seorang anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) kerana meminjamkan senjata api kepada rakannya yang tidak berlesen.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, mereka ditahan di rumah masing-masing di kawasan kampung di Jeli, dekat sini, Ahad lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati anggota RELA berumur 41 tahun itu meminjamkan senjata api dan peluru miliknya kepada rakannya berumur 45 tahun bagi tujuan memburu haiwan liar sejak tiga bulan lalu.

“Rakan kepada anggota RELA itu ditangkap, selepas sepasukan polis membuat serbuan di rumah di Kampung Jeli Dalam kira-kira 8 malam dan menjumpai serta merampas selaras senjata api, iaitu ‘shotgun’ jenis Harrington dan 68 butir peluru hidup serta 46 kelongsong peluru.

“Susulan itu, polis membuat tangkapan lanjut terhadap anggota RELA berkenaan kira-kira 10.30 malam di kediamannya di Kampung Layat yang terletak tidak jauh dari rumah rakannya itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Beliau berkata, dua individu itu direman mulai semalam hingga 13 Dis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.