Site icon Malaysia now

AMLA menanti pemilik sewa premis kepada sindiket jual barang tiruan

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pemilik sepatutnya menyemak latar belakang penyewa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemilik yang didapati menyewa premis mereka kepada sindiket penjualan barangan tiruan akan didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, tindakan akan diambil terhadap mereka mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 kerana bersekongkol dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik premis yang didapati melakukan aktiviti sewa premis kepada sindiket yang menjalankan perniagaan menjual barangan tiruan mengikut AMLA.

“Mereka (pemilik) sepatutnya bertanggungjawab dengan menyemak latar belakang penyewa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan dan tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis pelupusan perdana barangan tiruan yang dirampas di Kompleks Sentral Segambut.

Beliau berkata, selain itu pihaknya akan turut melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya didapati ada premis yang digunakan untuk tujuan penjualan barangan tiruan itu.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen sekiranya sindiket penjualan barangan tiruan ini membabitkan warga asing, selain menggunakan semua undang-undang sedia ada bagi membanteras kegiatan ini,” katanya.

Terdahulu, Hasnol menyaksikan pelupusan barangan tiruan seperti pakaian, beg tangan, minyak wangi dan minuman keras yang dirampas dari 2018 hingga tahun ini bernilai RM2.4 juta melibatkan 110 kes bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Sementara itu, beliau berkata jumlah pelupusan di Kuala Lumpur tahun ini melibatkan barang dirampas dalam 327 kes, dengan nilai keseluruhan RM6.3 juta.