Site icon Malaysia now

Amanah komited kukuh hubungan dengan rakan PH

Setiausaha Agung Amanah Hatta Ramli berkata cabaran parti itu adalah membawa kesegaran politik dalam usaha menarik perhatian anak muda untuk bersama berjuang membina negara.

PETALING JAYA: Amanah komited terus berjuang bersama Pakatan Harapan (PH) dengan mengukuhkan kerjasama politik antara parti komponennya bagi membina satu gabungan besar yang kuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Setiausaha agung Hatta Ramli berkata, biarpun Amanah berdiri sebagai pembangkang selepas 22 bulan menjadi kerajaan, ia tidak seharusnya melunturkan tekad parti itu untuk terus mengisi keperluan politik negara sebaliknya cabaran untuk ahli membawa kesegaran politik.

“Paling utama, kita akan terus kukuhkan keakraban dan hubungan kita dengan kepimpinan PH. Ini bukan sahaja untuk mengembalikan mandat tetapi supaya PH terus berjaya dan digeruni pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Amanah Nasional 2020 di Melaka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, Amanah yang kini duduk di kerusi pembangkang seharusnya memberi keazamaan kepada ahli untuk bangkit dan mendapatkan semula keyakinan rakyat yang semakin jemu dengan sandiwara politik negara.

“Parti ini berjaya mengharungi pelbagai onak duri, ada juga menguji ketahanan dan kesabaran. Dengan keahlian lebih 150,000 dalam tempoh lima tahun, kita rasa Amanah telah mengisi keperluan politik arus perdana.

“Cabaran kita adalah membawa kesegaran politik dalam usaha menarik perhatian anak muda untuk sama-sama berjuang membina negara,” katanya.