Site icon Malaysia now

Alif Satar undur diri dari mengacara AME 2020

Alif Satar tarik diri dari menjadi hos AME2020.

PETALING JAYA: Produksi program Anugerah MeleTOP Era (AME2020) mengumumkan keputusan Alif Satar untuk menarik diri dari menjadi hos majlis tersebut.

Ia bagaimana pun disambut baik oleh produksi berikutan dia masih dalam tempoh pemulihan kerana disahkan positif COVID-19 pada 22 November lalu.

“Fokus kami yang utama adalah untuk melihat Alif seperti sedia kala agar dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta dengan segera.

“Walaupun kini Alif telah pulih, kami masih mengambil berat akan tahap kesihatan beliau memandangkan peranan sebagai hos acara siaran langsung memerlukan kerahan tenaga yang banyak dan raptai siang malam, yang sedikit sebanyak akan memberi tekanan fizikal dan mental,” ujar satu kenyataan dari MeleTop.

Kenyataan itu telah dimuat naik di laman Instagram Meletop sebagai menyokong keputusan Alif.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak AME2020 dan Alif sendiri dengan berat hati telah mencapai kata putus untuk mengumumkan pengunduran Alif sebagai hos Anugerah
MeleTOP Era.

Namun, katanya lagi walaupun tidak menjadi hos, Alif tetap memainkan peranan dalam AME2020.

“Pihak kami sekarang sedang berusaha untuk mencari pengganti dan InsyaAllah kami akan umumkan hos baharu pada pukul 8 padi esok di radio Era dalam segmen Johara Pagi Era,” ujarnya.

AME2020 yang akan berlangsung pada Ahad ini, awalnya akan dikendalikan oleh Alif bersama dua pengacara iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com