Site icon Malaysia now

Aktiviti pelancongan, kebudayaan dibenarkan semula di Sabah

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktiviti pelancongan dan kebudayaan di Sabah dibenarkan dibuka semula dengan kapasiti maksimum 50% dibenarkan pada setiap tempat.

Dalam kenyataan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata tempat dibenarkan beroperasi termasuk zoo, akuarium, taman rekreasi, taman semula jadi dan pusat hiburan keluarga.

Beliau menambah, pusat seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni serta pawagam dalam negeri kemungkinan juga dibenarkan dibuka semula.

“Aktiviti ini dibenarkan sekarang tetapi tertakluk dengan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan pematuhan terhadap SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa 31 Dis,” kata Masidi.

Menurutnya, pertemuan secara bersemuka di tempat kerja, hotel dan tempat lain seperti seminar, bengkel, persidangan, perkahwinan, dan penyambutan juga akan dibenarkan.

Masidi berkata, acara berkenaan dibenarkan tetapi terikat dengan kapasiti maksimum 50% dalam bilik dan pematuhan menyeluruh terhadap SOP.

Bagaimanapun, kelonggaran sekatan dalam negeri itu tidak merangkumi tempat yang masih tertakluk bawah PKP diperketatkan (PKPD).

Selain itu, aktiviti sukan, rekreasi yang melibatkan jumlah besar peserta, kelab malam atau pub, pawagam, dan konsert, atau acara dipenuhi penonton masih dilarang.