IPOH: PPBM Perak mencadangkan beberapa nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan untuk dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak.
Pengerusinya Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Besar Saarani Mohamad.
“Saya sudah berbincang dengan menteri besar dan percaya beliau akan membawa nama-nama ini untuk dipersembah kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan kita harap yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada kempen Hijaukan Bumi Kita, Selamatkan Generasi Akan Datang anjuran ahli majlis Zon Pasir Pinji di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau sendiri akan dilantik sebagai Exco, Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang berkata kemungkinan besar beliau tidak akan memegang jawatan itu dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden PPBM berkata, beliau akan memfokuskan tugas sebagai Ahli Parlimen Tambun dan ADUN Chenderiang.
Khamis lepas, empat daripada lima ADUN yang mengangkat sumpah adalah lantikan semula, iaitu Zolkafly Harun (BN-Lintang); Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).
Bagaimanapun, hanya seorang ADUN PPBM yang dilantik iaitu Zainol Fadzi Paharudin (PPBM-Sungai Manik) adalah muka baru.
Barisan Exco Perak terbubar selepas Ahmad Faizal meletak jawatan sebagai menteri besar pada 5 Dis lepas, setelah gagal mendapat sokongan menerusi usul ‘keyakinan majoriti terhadap menteri besar’ sehari sebelum itu.
Menerusi usul yang dibawa oleh Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan DUN, Jumaat lepas, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan Umno memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), PPBM (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.