Site icon Malaysia now

8 pegawai imigresen ditahan dalam Op Selat dihadap ke mahkamah esok, Rabu

Pada 16 Nov, SPRM menjalankan operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.

PUTRAJAYA: Lapan pegawai Jabatan Imigresen yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Selat bulan lepas akan didakwa di enam mahkamah berasingan pada esok dan Rabu ini.

Menurut sumber, mereka akan dituduh atas kesalahan menerima wang sogokan setelah memperakukan cop keluar dan masuk pasport warga asing tanpa perlu keluar Malaysia.

Sumber memberitahu, esok masing-masing dua pegawai imigresen akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, manakala masing-masing seorang di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Sesyen Melaka.

Seorang daripada mereka pula akan dituduh pada Rabu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu.

Pada 16 Nov lepas, SPRM menjalankan operasi khas dengan kerjasama Jabatan Imigresen yang berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.