Site icon Malaysia now

5 warga Malaysia ditahan di Perth terbabit sindiket pekerja asing, kata laporan

Empat dari lima rakyat Malaysia masih di pusat tahanan imigresen di Perth. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Lima lelaki warga Malaysia di Perth ditahan Pasukan Sempadan Australia (ABF) selepas disyaki terlibat dalam sindiket eksploitasi pekerja asing dalam industri pembinaan.

Menurut akhbar The West Australian, mereka didapati tinggal di Australia secara haram dan ditangkap dalam serbuan Op Battenrun yang mensasarkan firma pengambilan buruh yang mengeksploitasi pekerja asing dan pendatang tanpa izin.

Laporan itu menyebut, pegawai ABF menemui tiga lelaki terbabit, berusia 50, 51, dan 64 tahun, di satu kediaman di Embleton pada 17 Dis.

Seminggu sebelum itu, pada 10 Dis, dua lagi lelaki ditahan, seorang berusia 52 tahun, dalam serbuan di sebuah rumah di Dianella dan seorang lagi berusia 46 tahun di sebuah hartanah komersial di Beckenham.

Lelaki berusia 52 tahun itu sudah dihantar pulang ke Malaysia, sementara empat yang lain ditahan dalam tahanan sementara menunggu penghantaran pulang.

Komander Operasi Barat ABF, James Copeman, berkata pandemik COVID-19 tidak menghalang operasi memberkas penjenayah dan individu yang mengeksploitasi pekerja asing yang rentan.

“Kami sentiasa memerhati kes pekerja asing yang dibayar gaji rendah, kehilangan hak, dan dilayan dengan buruk,” katanya lapor akhbar itu.

“ABF tidak akan bertolak ansur dengan orang yang mengaut keuntungan yang besar dengan mengeksploitasi pekerja asing.

“Maklumat yang dikumpul dalam operasi ini akan menjadi asas kepada siasatan lanjut terhadap sejumlah syarikat berdaftar Australia yang disyaki menggunakan khidmat sindiket ini.”

Copeman menambah, syarikat akan didenda sekiranya mereka menggaji pekerja kontrak yang merupakan pendatang tanpa izin atau warga asing yang bekerja tidak mengikut syarat visa.

“Selain eksploitasi pekerja yang tidak wajar itu, ini juga akan merugikan perniagaan tempatan yang melakukan perkara betul dengan membayar dan melayan pekerja mereka dengan betul,” katanya.

Jabatan Dalam Negeri Australia menggalakkan semua majikan membuat pemeriksaan berkala menggunakan sistem visa dalam talian bagi memastikan pekerja mempunyai permit bekerja yang sah.

Orang yang dieksploitasi, tanpa mengira status visa, juga digalakkan untuk tampil dan memberikan maklumat supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang terlibat.