Site icon Malaysia now

5 kluster baru di 3 negeri

Tiga daripada kluster baru itu membabitkan tapak pembinaan di Selangor dan Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lima kluster baru di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Tiga daripada kluster baru itu membabitkan tapak pembinaan di Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu kluster Tapak Bina Jalan Bukit di Hulu Langat, kluster Tapak Bina Condong membabitkan Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur serta kluster Tapak Bina Jalan Stadium di Titiwangsa dan Lembah Pantai.

Dua lagi kluster dikesan di Johor, iaitu kluster Jalan Dalam di Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru serta kluster Tenun Merah di Batu Pahat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster Tapak Bina Jalan Bukit di Selangor membabitkan pekerja tapak binaan yang dilaporkan positif hasil saringan individu bergejala pada 2 Dis lalu.

“Berikutan kes positif berkenaan, pihak syarikat menjalankan saringan bersasar di tempat kerja, di mana 46 lagi dikesan positif,” katanya dalam kenyataan sambil menambah 109 individu sudah disaring setakat ini.

Bagi kluster Tapak Bina Condong di KL, beliau berkata, kes indeks dilaporkan positif pada 6 Dis lalu hasil saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan.

Katanya, 291 individu disaring sehingga kini, dengan 24 daripadanya dikesan positif Covid-19.

Kes indeks kluster Tapak Bina Jalan Stadium di KL dilaporkan positif pada 4 Dis lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan sebuah tapak binaan.

Sebanyak 15 kes positif dikesan selepas 97 individu disaring.

Untuk kluster Jalan Dalam di Johor Bahru, kes indeks dilaporkan positif melalui saringan individu bergejala pada 7 Dis lalu dan 13 kes positif dikesan daripada 108 individu yang disaring.

Kes indeks bagi kluster Tenun Merah di Batu Pahat dikesan positif pada 7 Dis lalu melalui saringan individu bergejala.

“Sejumlah 287 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.”

Hisham berkata, 401 kluster dikesan di seluruh negara sehingga kini, dengan 214 daripadanya sudah tamat, termasuk kluster Merbok di Selangor, kluster Lintas dan kluster Telipok di Sabah yang berakhir hari ini.

Katanya, masih ada 187 kluster aktif, di mana 57 daripadanya melaporkan pertambahan kes hari ini, antaranya kluster Seruling (843 kes), Hentian (315 kes) dan Tembok (104 kes).