Site icon Malaysia now

35 tahun tunggu geran, penduduk Rawang cuba selesai sendiri urusan pemilikan tanah

Penduduk OC8 Batu Arang membuat tinjauan di kawasan terbabit sebelum mula membersihkan tanah. (Gambar Hamzah Osman)

PETALING JAYA: Sebanyak 94 keluarga di Rawang, yang hampa permohonan hak milik tanah kepada pejabat daerah Gombak lambat selesai, memutuskan untuk tidak menunggu lebih lama.

Hilang sabar dengan penantian selama 35 tahun itu membuatkan penduduk, yang memohon tanah itu untuk dijadikan perkampungan di OC8 Batu Arang, memutuskan untuk membersihkan sendiri tanah terbabit sendiri walaupun belum mendapat geran.

Hamzah Osman, ahli jawatankuasa yang mencari penyelesaian masalah itu, memberitahu FMT, penduduk mengumpul sebanyak RM8,000 setakat ini untuk membiayai kerja itu.

Kerja itu bermula hujung minggu lalu apabila sebuah jentera pengorek disewa untuk meratakan tapak tanah yang dijanjikan.

“Kira-kira 50 dari 94 ahli datang membantu membersihkan kawasan,” kata Hamzah. “Kebanyakan mereka sudah berumur. Ada juga yang datang dengan kerusi roda.

“Beberapa orang ahli kami sudah pun meninggal dunia bertahun lama dulu. Jadi, anak-anak mereka datang sebagai wakil keluarga.”

Pada 1985, penduduk menghantar permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk membangunkan sebuah kampung yang akan menempatkan 240 lot perumahan, masing-masing seluas 2,800 kaki persegi.

Permintaan itu diluluskan pada 1989, tetapi hanya 52 dari 94 keluarga menerima hak milik tanah mereka. Mereka membayar premium masing-masing sebanyak RM4,523. Baki 42 lagi masih menunggu perkembangan mengenai status geran mereka.

Semua 94 keluarga itu kini tinggal di kawasan penempatan setinggan di tanah kerajaan negeri di sekitar Batu Arang.

Hamzah Osman, ahli jawatankuasa yang mewakili penduduk.

Masalah utama ialah mereka tidak tahu sempadan yang tepat untuk tanah plot masing-masing.

Pengerusi jawatankuasa Mat Jaiz Yunos baru-baru ini berkata sejak 35 tahun lalu, pelbagai usaha dibuat penduduk untuk membincangkan perkara itu dengan pejabat daerah, pejabat Menteri Besar Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, namun tidak berhasil.

Dalam emel kepada FMT, Pejabat Tanah dan Galian Selangor berkata pihaknya tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai kes itu berikutan ia bawah pejabat daerah. FMT cuba menghubungi pejabat daerah, namun tidak berjaya.

Hanya baru-baru ini, menurut Hamzah, jawatankuasa itu berjaya menghubungi pejabat daerah. Namun, katanya, mereka tidak mendapat respons sewajarnya kerana pihak berkuasa sibuk mengendalikan program bancian penduduk 2020.

“Mereka pada mulanya memberi hak milik tanah itu kepada beberapa orang dalam kalangan kami, tetapi kemudian, tiba-tiba henti di tengah jalan,” katanya.
“Mereka perlu jelaskan kenapa ini terjadi.”

“Kami telah menghubungi wakil rakyat kami, tetapi belum ada perkembangan dari mereka. Mereka terlalu sibuk dengan program sendiri.”

Dalam pesanan teks kepada FMT, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat, merancang untuk mengatur pertemuan dengan pegawai daerah Gombak bagi membincangkan perkara itu.

“Sebelum ini, kerana perintah kawalan pergerakan, perjumpaan tidak dibenarkan,” katanya.

“Saya akan adakan perjumpaan secepat yang mungkin.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Selayang William Leong mengakui kekecewaan penduduk, tetapi isu itu rumit dan bukan mengenai pengeluaran geran tanah semata-mata.

Mengambil Kampung Selayang Baru sebagai contoh, Leong berkata memberikan geran dan menyerahkan kerja pembangunan sepenuhnya di tangan peneroka boleh mengakibatkan komplikasi pada prasarana.

“Kita ada banyak masalah di Selayang Baru,” katanya.

“Kos penyelesaiaan sangat mahal kerana tidak ada saliran atau jalan yang betul.

“Sebab kampung Melayu itu tertangguh kerana tidak ada gunanya memberikan sebidang tanah di mana mereka tidak dapat bina rumah sendiri.

“Apa yang kita perlukan adalah mendapatkan kontraktor, pemaju atau badan yang dapat melaksanakan kerja prasarana ini dan kenal pasti semula tanah setiap orang supaya mereka boleh bina rumah.”

Tambahnya, perkara itu kini di peringkat akhir perbincangan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor.

“Kami cuba atur semula penstrukturan program ini,” katanya.

“Pengerusi baharu sedang menyelesaikannya. Sebaik sahaja selesai, kami akan panggil peneroka untuk memaklumkan mereka mengenai situasi terkini.”