Site icon Malaysia now

35 kakitangan syarikat pengeluar kondom di Pontian positif COVID-19

Karex Berhad berkata, ia mula menjalankan saringan COVID-19 ke atas kakitangannya sejak 23 Nov. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar kondom Karex Berhad mengesahkan 35 pekerjanya positif COVID-19 berikutan saringan rutin ke atas 2,000 kakitangan syarikat itu baru-baru ini.

Menurut The Malaysian Reserve, 28 kes dikesan semasa saringan dijalankan di kilang syarikat itu di Pontian, Johor pada 16 Dis.

“Tujuh kes berasingan dikesan di dua kilang kondom lain,” kata jurucakap syarikat seperti dilaporkan.

Karex, syarikat pengeluar kondom terbesar di dunia itu berkata, ia mula menjalankan saringan COVID-19 ke atas kakitangan tempatan dan asingnya sejak 23 Nov di semua kilangnya.

Ia juga berkata, syarikat segera memaklumkan perkembangan itu kepada Kementerian Kesihatan dan bekerjasama dengannya dalam mengenal pasti kontak rapat pekerja yang didapati positif.

“Ia juga bagi memastikan kakitangan yang dijangkiti diberikan rawatan perubatan yang sesuai dan dikuarantin selepas menjalani saringan,” katanya.

Ia berkata, kilang terbabit kini ditutup sementara untuk tujuan sanitasi dan nyah kuman dan dijangka memulakan semula operasi secara berperingkat pada Jumaat.