Site icon Malaysia now

3 pendaki terselamat selepas sesat di puncak gunung 2 hari

Operasi mencari dan menyelamat tiga pendaki yang sesat di Gunung Berembun itu melibatkan 25 anggota, termasuk polis dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

SEREMBAN: Tiga pendaki ditemui selamat selepas sesat dua hari ketika mendaki Gunung Berembun di Jalan Pantai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, dua lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 30-an itu dijumpai pada 3.45 petang semalam di puncak gunung, sebelum dibawa keluar dari hutan kira-kira 1.45 pagi tadi.

Katanya, maklumat awal diterima menerusi panggilan telefon yang dibuat seorang daripada pendaki itu kira-kira 11.30 malam Sabtu, di mana anggota mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan.

“Mangsa yang dilaporkan tersasar kira-kira 10km dari trek pendakian, dibawa turun dari ketinggian 1,080m dari puncak gunung sebelum diberikan rawatan awal akibat keletihan.

“Kesemua mereka dalam keadaan selamat dengan mangsa wanita mengalami kekejangan dan kecederaan pada kaki,” katanya ketika dihubungi Bernama

Beliau berkata, mereka kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, operasi SAR itu melibatkan 25 anggota, termasuk polis dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan itu ditamatkan sepenuhnya 2 pagi tadi.