Site icon Malaysia now

3 daripada 6 kluster baru di Lembah Klang

Terdapat 190 kluster aktif di seluruh negara, dengan 48 daripadanya melaporkan pertambahan kes hari ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan enam kluster baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah kluster Sungai Putus dan Erima di Selangor, Tapak Bina Jalan Berangan di Kuala Lumpur, Langkasuka di Johor, Jalan College di Negeri Sembilan dan Sungai Keluang di Pulau Pinang.

Katanya, kes awal bagi kluster Sungai Putus di Klang, Selangor dikesan positif hasil saringan bersasar di tempat kerja membabitkan sebuah kilang pada 9 Dis lalu.

Sehingga kini, 427 daripada 2,001 individu yang disaring disahkan positif Covid-19, termasuk sembilan warganegara dan 418 warga asing.

Bagi kluster Erima di Gombak, Selangor, kes indeks dilaporkan positif melalui saringan individu bergejala pada 7 Dis lalu.

Susulan itu, beliau berkata, majikan melaksanakan saringan ke atas 83 pekerja dan mendapati 28 daripadanya yang merupakan kontak rapat kes indeks dikesan positif virus itu.

Hisham berkata, kluster Tapak Bina Jalan Berangan membabitkan Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur.

“Kes awal bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 9 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan.

“Sehingga hari ini, sejumlah 1,246 individu telah disaring, di mana enam orang dikesan positif.”

Di Johor, kes indeks bagi kluster Langkasuka di Kulai dan Johor Bahru disahkan positif pada 5 Dis melalui saringan individu bergejala dan sehingga kini, 14 daripada 113 individu yang disaring dikesan positif virus itu.

Beliau berkata, kluster Jalan College membabitkan Seremban di Negeri Sembilan dan Petaling di Selangor, di mana kes indeks dilaporkan positif melalui saringan individu bergejala pada 3 Dis lalu.

Katanya, 11 daripada 35 individu yang disaring dikesan positif Covid-19 setakat ini.

Di Pulau Pinang, kes indeks bagi kluster tempat kerja Sungai Keluang di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Selatan disahkan positif melalui saringan pulang ke negara asal pada 5 Dis lalu.

Sehingga kini, hasil saringan kontak rapat di tempat kerja membabitkan 99 individu mendapati 16 lagi kes positif.

Hisham berkata, 217 kluster sudah tamat setakat ini, termasuk kluster Taman Laut di Selangor, BMU di Melaka serta Ikhtisas membabitkan Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan yang tamat hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau sebanyak 190 kluster. Daripada jumlah tersebut, 48 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Pertambahan kes baru tertinggi adalah kluster Sungai Putus (369 kes), kluster Rumah Merah (150 kes) dan kluster D’Bajaru (133 kes).”