Site icon Malaysia now

3 cedera kemalangan 11 kenderaan

Kemalangan membabitkan pelanggaran di bahagian belakang antara kereta lain di lorong kanan itu menyebabkan kesesakan sejauh 12km. (Gambar Facebook)

SEREMBAN: Tiga orang cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kereta di Km 261.9 Lebuhraya Utara Selatan 3.20 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kemalangan membabitkan pelanggaran di bahagian belakang antara kereta lain di lorong kanan itu menyebabkan kesesakan sejauh 12km.

“Semua kereta terlibat berjaya dialihkan dan lalu lintas di lebuh raya tersebut dilaporkan kembali lancar.

“Susulan kemalangan itu, dua wanita dan seorang lelaki yang merupakan pemandu kereta mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan.

“Bagaimanapun, butiran lengkap semua mangsa masih belum diperoleh,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemandu kenderaan yang terbabit kemalangan itu membuat laporan di Balai Polis Trafik Seremban.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 3.10 petang yang membabitkan kira-kira 20 mangsa termasuk wanita.

Beliau berkata, lapan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bergegas ke lokasi kemalangan selepas menerima panggilan.