Menginjak ke usia 30 tahun pada 28 Jan tahun depan, penyanyi Sufi Rashid berazam untuk boleh membaca dan khatam al-Quran pada 2021.
Sufi sendiri mengakui bahawa dia tidak pernah khatam al-Quran dan kini dalam proses membaca Iqra’.
“Saya memang tidak boleh membaca al-Quran langsung, huruf pun saya dah lupa. Masa kecil saya pernah belajar mengaji di madrasah tetapi tak khatam dan terus berhenti.
“Tetapi hari ini, Alhamdulillah, saya dah masuk Iqra’ tiga. Saya berazam 2021, nanti saya boleh baca dan khatam al-Quran,” katanya.
Menurut Sufi dia sering memasang niat untuk belajar mengaji tetapi ia sering tertunda.
“Saya fikir sampai bila tak pandai membaca dan mengaji al-Quran. Itu yang saya terbuka hati nak belajar semula.
“Jadi, sejak sebulan lalu saya ambil inisitif mengikuti kelas dalam talian bersama seorang Ustaz Iman pada setiap Selasa, selepas maghrib selama 15 minit.
Malah, menurut Sufi, dia kemudian telah dijemput untuk terbabit dalam program Kelas Ngaji Talaqqi dan Tadabbur (TNT) secara dalam talian anjuran stesen TV AlHijrah dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd pada setiap Rabu.
“Ini bermakna saya mempunyai tambahan ustaz dan tambahan waktu sejam untuk belajar al-Quran. Bukan belajar baca Iqra’ saja, tapi saya boleh mengajukan soalan-soalan dalam bab solat, bacaan dalam solat dan persoalan mengenai bab agama.
Jelas Sufi, perasaan malu sememangnya ujud apatah lagi mengenai perkara yang melibatkan agama, namun dia lebih berasa malu dengan Allah SWT.
“Semua manusia ada perasaan malu, lagi-lagi perkara macam ini. Tapi sampai bila nak malu dengan orang sedangkan dengan Allah tak malu? Bagi saya biarlah malu asalkan dapat ilmu.
Kata Sufi selepas selepas berkongsi di media sosial, ramai yang menghantar mesej meminta motivasi darinya.
Kelas Ngaji Online Talaqqi dan Tadabbur (TNT) yang bermula sejak bulan lalu adalah bagi mewujudkan satu platform dalam talian bagi rakyat Malaysia mempelajari al-Quran dari rumah sambil dibimbing Qari dan Qariah terkenal.
Antara terbabit adalah seperti Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Tirmizi Ali, Ustazah Farhatul Fairuzah Panut dan ramai lagi.
Selain berpeluang mendalami ilmu al-Quran, peserta turut akan diberikan ujian pada setiap sesi kelas bagi memastikan peserta betul-betul memahami dan mendapat ilmu sepanjang kelas berjalan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke fmtohsem@freemalaysiatoday.com