Site icon Malaysia now

17,000 pekerja asing disaring sehingga semalam, kata Ismail

Bermula 1 Dis lalu kerajaan mewajibkan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen secara berperingkat dan bersasar.

PETALING JAYA: Hampir 17,000 pekerja asing disaring sehingga semalam selepas kerajaan mewajibkan majikan melakukannya bermula 1 Dis lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 550 dikesan positif Covid-19.

“Lebih kurang 16,400 mencatatkan keputusan negatif.

“Sebanyak 663 kilang atau industri terlibat dalam saringan dengan 652 klinik terbabit membuat pemeriksaan,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jumlah pekerja asing yang disaring selepas kerajaan mewajibkan majikan melakukan saringan terhadap pekerja bermula 1 Dis.

Bagaimanapun, Ismail berkata masih terdapat majikan yang gagal memberikan kerjasama dan bakal berdepan tindakan.

“Kita seru majikan supaya beri kerjasama kepada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan (KKM) kerana besar musibahnya kepada mereka jika gagal beri kerjasama.

“Jika terdapat pekerja mereka posiif, automatik kilang mereka akan ditutup, jadi lebih baik bagi kerjasama supaya mengelak kes membabitkan pekerja mereka. Bila kilang tutup mereka juga akan rugi besar. Kita juga akan bincang dengan Jabatan Peguam Negara dari segi perundangan yang boleh diambil kepada majikan gagal beri kerjasama,” katanya.

Bermula 1 Dis kerajaan mewajibkan saringan Covid-19 ke atas pekerja asing menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen secara berperingkat dan bersasar.