Site icon Malaysia now

1,577 pesakit COVID-19 dirawat di Sabah, 56 di ICU

Daripada 180 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan di Sabah hari ini, 109 kes atau 58.6% adalah daripada saringan kontak rapat.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun berkata, seramai 1,557 pesakit COVID-19 masih menerima rawatan di Sabah dengan 56 daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, daripada jumlah individu yang dirawat di ICU, 16 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

”Daripada jumlah 1,557 pesakit, seramai 564 dirawat di hospital, manakala 993 orang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan COVID-19 berkata, daripada 180 kes baharu yang dicatatkan di Sabah hari ini, 109 kes atau 58.6% adalah daripada saringan kontak rapat.

Masidi Manjun.

”Selain itu sebanyak 31 kes atau 16.7% adalah daripada saringan bergejala, 30 kes (16.1%) daripada saringan kluster baharu dan kluster sedia ada serta 16 kes lagi (8.6%) adalah daripada lain-lain kategori.

”Sementara itu, terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Tawau, iaitu kluster Jalan Sedco yang mencatatkan sembilan kes menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kluster itu 14 kes,” katanya.

Beliau berkata, kluster terbabit dikesan menerusi saringan kontak rapat rakan sekerja di sebuah kedai menjual makanan sejuk beku.