Site icon Malaysia now

120,296 daripada 372,934 pemohon dapat kerja baru, kata menteri

M Saravanan berkata, kadar pengangguran menunjukkan trend penurunan ketika ini dan ia dijangka berterusan hingga tahun depan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia berkata, seramai 120,296 daripada 372,934 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan baru setakat ini.

Menterinya, M Saravanan berkata, data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan 99,696 orang diberhentikan kerja sehingga 27 Nov lalu.

“Negara melalui tujuh bulan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran pandemik Covid-19. Sejak 10 Jun 2020, PKP pemulihan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi, walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.

“Pada masa sama, pelbagai pakej rangsangan disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi, termasuk pasaran buruh. Oleh yang demikian, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh, walaupun pada tahap sederhana.

“Perkara ini dicerminkan pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun 2020, serta kadar pengangguran yang menunjukkan trend penurunan,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai jumlah pekerjaan terjejas ekoran PKP bersyarat kali kedua yang bermula 14 Okt lalu dan sejauh mana pelaksanaannya memberi impak kepada pekerjaan dan pasaran buruh secara menyeluruh.

Saravanan berkata, kadar pengangguran menunjukkan trend penurunan ketika ini dan ia dijangka berkurangan kepada 4.5% dan berterusan hingga tahun depan.