Site icon Malaysia now

10,000 katil di PKRC MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 memfokuskan kepada pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara. (Gambar Bernama)

SERDANG: Keseluruhan kapasiti 10,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) dijangka dapat disiapkan Jumaat depan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit COVID-19 bukan warganegara.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 yang memfokuskan kepada pesakit COVID-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara, berikutan peningkatan kes mendadak dan hasil pelaksanaan saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dengan menyediakan pusat kuarantin lebih kondusif untuk pesakit ini,” katanya dalam ucapan ketika melakukan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0.

Ini kerana kerajaan menyedari bahawa terdapat kekangan daripada pihak majikan untuk menyediakan prasarana untuk proses kuarantin pekerja bawah seliaan mereka, katanya.

Beliau berkata, penempatan jumlah katil di PKRC MAEPS 2.0 dibuat dalam tiga fasa, dengan anggaran jumlah katil sebanyak 3,000 bagi fasa 1, 3,300 katil bagi fasa 2 dan 3,700 katil bagi fasa 3.

Berikutan kapasiti besar di kawasan tersebut, beliau berharap Jawatankuasa PKRC MAEPS 2.0 turut mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan petugas khususnya yang berdepan secara langsung dengan pesakit COVID-19.

“Ini kerana, seperti kita semua sedia maklum, waktu rehat petugas amat minimum akibat keperluan berkehendakkan mereka bertugas dalam jangka waktu lama di MAEPS ini. Mereka telah meninggalkan anak dan keluarga masing-masing demi memberikan khidmat kepada negara,” katanya.

Beliau berharap, jawatankuasa tersebut dapat memberikan keselesaan dan kemudahan seperti talian internet yang pantas agar mereka dapat bersemuka dengan keluarga masing-masing dengan kaedah maya bagi mengubati kerinduan.