Site icon Malaysia now

1/5 populasi dunia mungkin tak dapat vaksin hingga 2022

Timbul kebimbangan negara miskin mungkin diketepikan. (Gambar AP)

PARIS: Sekurang-kurangnya 1/5 populasi dunia mungkin tidak mendapat vaksin Covid-19 sehingga 2022, dengan negara kaya menempah lebih separuh daripada dos berpotensi untuk tahun depan, menurut kajian yang disiarkan hari ini.

Harapan untuk vaksin menamatkan pandemik yang meragut kira-kira 1.6 juta nyawa di seluruh dunia, negara termasuk AS, Britain dan Emiriah Arab Bersatu sudah memulakan program imunisasi.

Penyelidik dari Sekolah Kesihatan Awam Johns Hopkins Bloomberg mendapati negara kaya – yang mempunyai 14% populasi dunia – sudah menempah lebih separuh daripada dos vaksin yang dijangka dihasilkan 13 syarikat terkemuka tahun depan.

Timbul kebimbangan negara miskin akan diketepikan.

Walaupun pengeluar ubat mampu menghasilkan vaksin berkesan dan selamat serta memenuhi sasaran pengeluaran global maksimum mereka, kajian itu mendapati “sekurang-kurangnya 1/5 populasi dunia tidak akan mempunyai akses kepada vaksin sehingga 2022”.

Penyelidikan itu, yang disiarkan dalam jurnal perubatan BMJ, meneliti data umum dan mendapati setakat pertengahan bulan lalu, tempahan berjumlah 7.48 bilion dos – bersamaan 3.76 bilion vaksin yang kebanyakannya memerlukan dua suntikan.

Ia sebahagian daripada unjuran jumlah maksimum kapasiti pengeluaran 5.96 bilion vaksin menjelang akhir 2021.

Skim pembelian terkumpul

Kajian itu menganggarkan sehingga 40% vaksin daripada pengeluar terkemuka mungkin boleh disediakan untuk negara berpendapatan rendah dan pertengahan, tetapi ini bergantung kepada cara negara kaya berkongsi apa yang mereka perolehi.

Penulis, yang memberi amaran makmuat awam itu tidak lengkap, menggesa “lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti” atas sokongan untuk akses global yang adil atau kesannya menjangkau kesihatan.

“Dalam tahap berbeza, perdagangan dan perjalanan ke negara lain mungkin terus menghadapi gangguan sehingga akses kepada langkah pencegahan atau rawatan berkesan, seperti vaksin Covid-19, lebih mudah diperolehi,” menurut laporan itu.

Banyak negara menyertai mekanisme pembelian terkumpul atau COVAX – diselaraskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Gabungan untuk Inovasi Kesiapsiagaan Wabak dan Pakatan Vaksin Global (GAVI) – bertujuan memastikan masyarakat dunia mempunyai akses kepada vaksin Covid-19, tanpa mengira kekayaan.

Inisiatif itu berharap 2 bilion dos disediakan menjelang 2021.

Tetapi, AS dan Rusia tidak menyertai program itu, setakat ini.

Penulis Johns Hopkins berkata, vaksin itu berharga antara AS$6 (RM24.30) hingga AS$74 (RM299.70).

Mereka mendapati jika semua vaksin berfungsi seperti diharapkan, banyak negara kaya sudah menempah sekurang-kurangnya satu vaksin bagi setiap orang.

Penyelidik berkata, tempahan Kanada bersamaan empat dos seorang, AS pula memesan satu vaksin setiap orang, manakala negara seperti Indonesia menempah kurang satu vaksin bagi setiap dua rakyatnya.